Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Varian Omicron: KKM akan kemas kini senarai larangan perjalanan setiap hari

Kementerian Kesihatan akan membuat kemas kini terhadap senarai larangan perjalanan setiap hari, melibatkan negara yang dianggap sebagai berisiko tinggi menyebarkan varian Omicron Covid-19, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri kesihatan itu berkata, selain lapan negara yang sudah dimasukkan dalam senarai, negara juga menimbang sama ada untuk mengenakan sekatan sama atau tidak terhadap lima lagi negara.

Negara tersebut adalah United Kingdom, Belanda, Belgium, Jerman dan Australia. Negara ini telah mengesan varian tersebut, yang dilaporkan sangat mudah tersebar, sebelum ia dilaporkan oleh saintis di Afrika Selatan.

"Pertimbangan sedang dibuat terhadap negara-negara ini. Sebaik kita ada lebih maklumat berkenaan kes di negara yang disebut ini, setelah membuat penilaian risiko, kita akan putuskan jika mereka akan dimasukkan ke dalam senarai.

"Tetapi saya boleh beritahu yang negara-negara ini sedang dinilai sekarang," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara dalam talian hari ini.

Lapan negara yang sudah disenaraikan adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.

Malawi adalah negara terbaru yang disenaraikan, yang diumumkan Khairy ketika sidang media.

"KKM akan kemas kini setiap hari berdasar penilaian dibuat," kata Khairy sambil menambah kementerian itu juga akan melaporkan mengenai cadangan senarai larangan penerbangan terus kepada perdana menteri.

Menurutnya, penilaian itu mengambil kira sama ada varian Omicron yang dikesan di sesebuah negara melibatkan penularan dalam komuniti atau kes import, tahap risiko ia merebak dan liputan vaksinasi sesebuah negara.

Omicron dikenal pasti secara rasmi di Afrika Selatan minggu lalu, tetapi dipercayai varian itu telah menular lebih awal, termasuk di negara-negara Eropah.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Belanda, mereka menemui varian Omicron dalam sampel ujian yang diambil di negara itu pada 19 dan 23 Nov.

Sejak ia dimaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu, lebih banyak negara telah melaporkan penemuan serupa.

Susulan itu, Putrajaya mengenakan sekatan perjalanan ke atas negara yang dianggap mempunyai risiko tinggi wabak varian Omicron. Larangan itu juga meliputi warga asing yang telah ke negara tersenarai dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan mereka ke Malaysia.

Khairy berkata kerajaan juga memutuskan untuk melarang rakyat Malaysia daripada melancong ke negara lain.

Rakyat Malaysia dan pemegang pas perjalanan jangka panjang yang ingin pulang ke negara ini tidak terkesan dengan larangan itu, tetapi mereka dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Khairy berkata Malaysia meneruskan program laluan perjalanan vaksin (VTL) dengan Singapura, yang membolehkan perjalanan bebas kuarantin antara kedua-dua negara, tetapi peserta kini dikehendaki melakukan ujian kendiri pada hari ketiga dan ketujuh dan melaporkan keputusannya kepada pihak berkuasa kesihatan melalui aplikasi MySejahteranya.

Dalam sidang akhbar itu, Khairy turut memberikan nasihat kepada rakyat Malaysia dalam menghadapi varian baru itu.

Dia berkata rakyat Malaysia yang ke luar negara perlu terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut nasihat KKM seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal, termasuk di tempat di mana pihak berkuasa di sana tidak mengambil langkah sedemikian.

Warga emas dan individu yang mempunyai komorbiditi juga dinasihatkan tidak melancong ke luar negara dan perlu mengelakkan diri daripada pergi ke tempat yang sesak.