Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Mahathir jawab isu tanah di Langkawi, tapi tak sebut tanah balak’

Najib Razak kecewa dengan penjelasan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengakui dia memajak dan membeli tanah di Langkawi seperti yang dibangkitkannya, sebelum ini.

“Kenapa Mahathir hanya jawab saya berhubung tanah Langkawi sedangkan saya juga bangkitkan isu penerimaan konsesi dan tanah balak seluas 1,000 hektar (2,471 ekar) oleh anaknya (Mukhriz) pada ketika dia adalah perdana menteri.

“Sebenarnya Mahathir tak perlu jawab perkara ini sebab anaknya sendiri sudahpun mengaku.

"Anaknya kata itu cerita lama, “ kata Najib melalui satu hantaran di Facebook hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata sebelum ini, Mukhriz menjelaskan bahawa dia cuma membantu kawan dan dia tidak menerima manfaat besar.

“Sebab cuma 2,471 ekar tanah balak sahaja. Baik hati betul Mukhriz. Bantu kawan je tanpa manfaat besar.

“Bila dia juga nak bantu saya atau netizen untuk turut menerima tanah balak seluas 2,471 ekar?” soalnya.

Najib mengulas kenyataan Mahathir, semalam yang mengaku menerima pajakan tanah tepi pantai Langkawi, Kedah. 

Menurut Najib, tanah itu seluas 34 ekar selama 60 tahun pada harga RM3,200 setahun untuk semua 34 ekar dari LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi) pada tahun 2014.

Ketika itu, Mahathir adalah penasihat LADA dan anaknya, Mukhriz pula adalah Menteri Besar Kedah serta exco bertanggungjawab ke atas tanah.

Najib berkata, dengan perkembangan itu, dia berharap Dr Mahathir akan berhenti membangkitkan isu pejabatnya memohon kediaman kerajaan di bawah akta kerajaan yang dipinda oleh dirinya sendiri sebab dia sudahpun menolak tawaran tersebut.

“Jika Mahathir masih mahu bangkit maka harap dia tunjukkan di bawah akta kerajaan apa yang ayah (Mahathir) berhak menerima tanah tepi pantai kerajaan semasa anak dia adalah menteri besar dan di bawah akta kerajaan mana yang anak berhak menerima ribuan tanah balak semasa ayah dia adalah perdana menteri,” katanya.

Melalui tulisan di blognya, Mahathir, berkata dia membayar pajakan itu.

“Pajak kena bayar. Tak dapat free pun”.

Malah, katanya, oleh kerana kos pajakan dinaikkan berkali ganda, dia menyerahkannya balik kepada LADA.

Sebelum ini Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi membangkitkan isu permohonan hartanah Najib yang bernilai RM100 juta itu di parlimen.

Najib kemudian menarik balik hasrat memohon hartanah daripada kerajaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang berdepan situasi sukar akibat Covid-19.