Pajakan tanah kepada 2 syarikat di Ladang Tennamaram dibatal
Kerajaan Selangor bersetuju membatalkan pajakan tanah seluas 39.01 hektar yang diusahakan dua syarikat di Tanjung Pasir Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, dan akan digantikan dengan kawasan pajakan lain di Serendah.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata pertikaian terhadap pajakan tanah tersebut dibangkitkan peneroka Ladang Tennamaram pada April lepas yang meminta kerajaan negeri campur tangan berhubung pertindihan permohonan tanah yang mereka usahakan dengan dua syarikat terbabit yang diberi pajakan.
Katanya keputusan kerajaan negeri itu diambil hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 17 Nov lepas.
Susulan daripada keputusan tersebut, katanya, tanah berkenaan akan dipajakkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) selama 21 tahun dan perbadanan itu perlu membuat pemutihan terhadap hampir 400 orang peneroka yang memohon.
“Hasil daripada rundingan di antara PKPS dan kesemua kumpulan peneroka yang berminat, mereka mencapai kata sepakat bahawa para peneroka bersetuju mendaftar sebagai pemajak melalui PKPS,” katanya pada sidang media Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata persetujuan itu pada masa yang sama dapat menyelesaikan isu peneroka haram di tanah PKPS seluas 322.03 hektar di kawasan yang sama.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai