Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Ahli PKR timbulkan keriuhan di pejabat DAP ibarat samseng Umno'

Naib Ketua Pemuda DAP Pahang Chris Shan mengibaratkan ahli PKR yang membuat bantahan di luar pusat khidmat DAP seperti "samseng Umno".

Perumpamaan itu dibuatnya ketika merujuk tindakan sekumpulan ahli akar umbi PKR yang membuat bantahan di luar pusat khidmat Adun Bilut Lee Chin Cheh semalam berhubung gesaannya supaya presiden PKR Anwar Ibrahim berundur sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya terhadap wakil-wakil PKR Pahang yang membawa keriuhan di Pejabat Adun Kawasan Bilut pada petang semalam.

“Keriuhan ini kelihatan tiada beza dengan perangai samseng Umno.

“Jika PKR Pahang tidak bersetuju dengan kenyataan YB Lee, maka mereka boleh menyangkal dan mengemukakan bukti untuk menunjukan tuduhan itu salah, dan bukannya membuat keriuhan secara besar-besaran seperti samseng,” katanya dalam satu kenyataan.


Baca: Kamu bergaduh jangan babitkan kami - pemimpin Umno


Lee mempersalahkan Anwar berhubung prestasi hambar PH pada pilihan raya

Melaka dan mempersoalkan keputusannya menerima pembelot Umno sebagai calon PH.

“Anwar merupakan mangsa budaya katak, tetapi kini PKR Pahang mempertahankan budaya katak demi melindunginya.

“Tingkah laku wakil-wakil itu telah menunjukkan PKR Pahang bersetuju dengan budaya katak,” katanya.

Shan berkata PKR sepatutnya mengkaji semula punca kekalahan mereka di Melaka dan bukannya menghabiskan masa untuk program keriuhan itu.

Dia menegaskan bahawa Pemuda DAP Pahang akan terus menyokong Lee dan keputusan untuk tidak menarik balik gesaannya.