Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Muhyiddin sendiri pertahan sekolah vernakular selagi ada bulan bintang

ULASAN | Sebelum saya mengulas mengenai kenyataan Pemimpin Armada, saudara Ashraf Mustaqim, izinkan saya berkongsi kenyataan berikut.

“Dalam pelan pendidikan telah dimasukkan rancangan meningkatkan sekolah jenis kebangsaan, selagi ada matahari dan bulan, kerajaan Barisan Nasional akan pastikan sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina akan kekal berada dalam negara ini. Jadi jangan dengar sesetengah pihak yang kata nak tutup sekolah ini, pelan ini memartabatkan sekolah Tamil dan Cina di negara ini”

Kenyataan di atas datang bukan dari Wee Ka Siong atau Najib Razak, tetapi dari Muhyiddin Yassin, mantan menteri pendidikan merangkap presiden PPBM.

Pelan yang disebutkan itu adalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan oleh Muhyiddin sendiri.

Jadi kalau Ashraf sekadar bising kepada Steven Sim, tapi kecut dan tidak berani menegur kepada mantan Menteri pendidikan yang janji sampai ke bulan dan bintang, maka sahlah dia bukan pejuang nasionalis tetapi lebih kepada pengampu politikus.

Kemudian ada dalam kenyataan sama ada menyebut ayat ini “Persejarahan Malaysia disongsangi menerusi silibus di sekolah vernakular!” lengkap dengan tanda seruan.

Maka izinkan saya mengingatkan kepada Encik Ashaf kurikulum dan mata pelajaran sekolah jenis kebangsaan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebab tu dalam nama sekolah itu ada disebut perkataan ‘kebangsaan’. Kalau ia songsang, maka songsanglah Menteri Pendidikan yang datang dari PPBM itu.

Jadi lebih dari sembang politik yang gegak gempita untuk pertahankan ketuanya, apa isi kandungan usul Armada ini? Apakah yang dimaksudkan ‘pemansuhan secara berperingkat’, adakah sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar akan diharamkan secara terus? Pembiayaan kerajaan akan dipotong? Apa cadangan Armada ke atas sekolah venakular yang bertaraf swasta pula?

Kalau Ashraf gusar kerana banyak anak-anak muda yang tidak fasih berbahasa Melayu (bahasa kebangsaan) suatu perkara yang saya sendiri tidak gemari, maka haruslah berlaku adil dan menyebut semua golongan masyarakat yang anak-anak mereka turut gagal dalam menghayati bahasa kebangsaan ini.

Sebutkanlah juga anak-anak golongan bangsawan dan atasan yang dari kecil dihantar ke sekolah aliran inggeris sampaikan pelat dan kekok untuk berbahasa kebangsaan.

Kalau Armada anggap bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menjadi batu penghalang, sebagaimana yang disebutkan beliau “agenda perpaduan dan integrasi nasional” janganlah henti kepada sekolah Jenis kebangsan Cina dan Tamil sahaja, seranglah juga sekolah yang menggunakan bahasa penghantar lain.

Patutkah setiap rakyat Malaysia fasih berbahasa kebangsaan? Sudah pasti. Wajarkah kita melihat kepada kaedah untuk lebih menyatupadukan rakyat Malaysia berbilang bangsa? Sokong!

Tapi kalau benar-benar mahu berbahasa mengenai perpaduan, mengenai identiti Bangsa Malaysia, bicaralah dengan penuh kebijaksanaan dan adil. Kalau benar-benar mahu melihat semula sistem pendidikan negara, kita mesti melihat ianya secara menyeluruh dan bukan sekadar memilih bulu untuk laba politik murahan.

Kalau Armada mahu mulakan langkah pembetulan dan penambahbaikan sistem pendidikan negara, mereka boleh mulakan dengan perkara-perkara yang lebih mendesak.

Seperti janji untuk memberikan komputer riba dan alat pembelajaran atas talian, memastikan sistem IT yang berbillion ringgit harganya yang dibenci oleh guru-guru diaudit dan dasar pendidikan dan persekolahan yang lebih jelas pasca pandemik ini. Janganlah takat retorik kosong semata.


ZAIDEL BAHARUDDIN ialah ketua penerangan Muda

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.