Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kit Siang dakwa ramai salah faham isu MOU k'jaan-PH

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa terdapat salah faham berleluasa mengenai MoU (Memorandum Persefahaman) CSR antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Kata Lim, tanggapan salah itu berlaku di kalangan pihak yang menganggap DAP dan PH kini menyokong Belanjawan 2022 yang disifatkan 'perkauman, berat sebelah dan memecah belah'.

“Pemimpin dan Ahli Parlimen DAP dan PH akan terus menentang perkauman, ketidakadilan dan diskriminasi Belanjawan 2022, yang tidak mencerminkan konsep Keluarga Malaysia yang dianjurkan oleh Ismail Sabri Yaakob.

“Saya tidak tahu berapa ramai pengundi Melaka yang telah terpesong dan terkeliru dengan tanggapan salah bahawa kini tiada beza antara kerajaan dan pembangkang, dan undi untuk DAP dan PH tak ada beza dengan undi parti kerajaan.

“Adalah menjadi cabaran kepada semua ahli dan penyokong untuk tidak menyalahgunakan tanggapan salah rakyat ini,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Putrajaya, di bawah MOU itu, berjanji tidak akan membubarkan Parlimen sehingga sekurang-kurangnya 21 Julai 2022, bagi mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan yang diminta oleh PH sebagai pertukaran agar pembangkang tidak menghalang agenda utama kerajaan.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak ada kepastian bahawa MOU itu akan berlangsung sehingga Julai depan.

Ini kerana, kata Asyraf, PH tidak kelihatan serius dalam mematuhi perjanjian itu apabila ia menggalakkan bekas Adun Umno yang terlibat dalam menjatuhkan kerajaan Umno-Bersatu di Melaka sebelum ini.