Royalti jadi wang ihsan: Kelantan minta penjelasan Putrajaya
Kelantan menuntut Putrajaya menjelaskan status sebenar pembayaran royalti dan wang ihsan yang disalurkan ke negeri itu ekoran jawapan diberikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini.
Menteri Besar Ahmad Yakob berkata negeri itu memandang serius jawapan diberikan menteri terbabit kerana tidak selari dengan kenyataan dibuat kerajaan persekutuan sebelum ini.
"Kerajaan Kelantan memandang serius jawapan bertulis dikemukakan Tengku Zafrul dan memohon penjelasan lebih lanjut daripada kerajaan persekutuan," katanya hari ini.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 25 Nov lalu Tengku Zafrul berkata kerajaan pusat hanya menyalurkan wang ihsan atas pengeluaran petroleum di perairan berhampiran Kelantan.
Menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Tengku Zafrul berkata hal itu kerana medan pengeluaran petroleum terbabit sebenarnya berada luar perairan Kelantan.
Untuk rekod Kelantan membuat tuntutan bayaran royalti sejak negeri itu ditadbir oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah kerajaan negeri pernah membawa kes berkenaan ke mahkamah.
Bersama exco kanan ketika itu, Husam Musa, Kelantan menyaman Petronas dan kerajaan pusat apabila Putrajaya tidak membayar royalti untuk minyak yang dicari gali di perairan negeri tersebut sejak 2004.
Bayaran tunai kaedah tepat
Saman terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan itu meliputi dakwaan pelanggaran perjanjian kontrak dan turut membabitkan isu perlembagaan.
Pada Okt 2018 Kelantan menarik balik saman tersebut susulan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika itu yang mahu membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.
Pun begitu Kota Bharu menganggap peruntukan tersebut adalah wang ihsan, bukannya royalti petroleum.
Ahmad berkata Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 memutuskan bahawa kerajaan persekutuan memansuhkan Program Wang Ihsan sebaliknya memberikan bayaran tunai yang disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
Kata Ahmad, bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi Kelantan juga diperakui oleh kerajaan persekutuan dalam sidangan Dewan Rakyat pada 30 Okt 2019 dan 28 Julai 2020 lalu oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) PH pada ketika itu.
"Kelantan berpendirian bahawa bayaran tunai adalah kaedah yang tepat berdasarkan peruntukan yang jelas dalam perjanjian 1975 di antara kerajaan negeri dan Petronas.
"Ini juga adalah selaras dengan pendirian dan keputusan kerajaan persekutuan sebelum ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai