Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia Airlines diizin tambah penerbangan ke Sarawak

Malaysia Airlines mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk mengendalikan penerbangan tambahan ke negeri itu antara 11 Dis ini dan 5 Jan tahun depan.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya berkata bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, penerbangan ditambah daripada 21 kali seminggu kepada 35, manakala bagi laluan Kuala Lumpur-Bintulu, Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur-Sibu ia ditingkatkan daripada tujuh penerbangan seminggu kepada 14.

“Memandangkan pihak syarikat penerbangan melaksanakan harga dinamik berdasarkan permintaan dan penawaran, kadar tambang mungkin berbeza bergantung pada tarikh, masa dan kekosongan tempat duduk.

"Apabila lebih banyak kapasiti tersedia di pasaran, dengan sendirinya tambang akan turun.

“Malaysia Airlines akan sentiasa menyelaraskan kapasiti atau kekerapan sebagaimana dinasihatkan oleh JPBN Sarawak.

"Pelanggan juga digalakkan menempah penerbangan lebih awal bagi mendapatkan kadar tambang lebih rendah,” kata kenyataan itu.

Menurut Malaysia Airlines lagi sejak 1 Nov lepas mereka beroperasi dengan perkhidmatan terhad iaitu sebanyak 21 penerbangan seminggu ke Kuching sebagaimana diluluskan oleh JPBN Sarawak, berbanding 63 penerbangan seminggu pada Dis 2019 iaitu sebelum penularan Covid-19.

Katanya pada minggu 22 Nov lepas, tempahan penerbangan mencapai nisbah muatan antara 98 peratus hingga 100 peratus untuk tempoh musim cuti akan datang.

Malaysia Airlines menyatakan bagi tempoh perjalanan pada Dis ini, ia mengenakan tambang purata RM350 sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching bermula Okt lalu.

Syarikat penerbangan itu juga memperkenalkan tambang promosi RM109 sehala bermula 10 hingga 31 Okt lepas bagi tempoh perjalanan Okt 2021 hingga 21 April 2022.

- Bernama