Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno gesa kerajaan tangani kenaikan harga barang

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa kerajaan segera menangani kenaikan harga barang.

Menurutnya, rakyat terus terbeban dengan harga sayur yang naik mendadak melebihi dua kali ganda.

"Kenaikan ini menyusul selepas kenaikan harga ayam dan telur yang secara keseluruhannya memaparkan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun.

"Saya faham bahawa fenomena kenaikan harga adalah norma pasaran dan dipengaruhi oleh lebihan permintaan atau penawaran, faktor cuaca serta kos pengangkutan.

"Namun, kenaikan keterlaluan amat membebankan rakyat, terutamanya yang terhimpit akibat kehilangan mata pencarian.

"Malaysia nampaknya mula mengalami masalah ketidakjaminan makanan.

"Isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada kehilangan akses untuk sumber makanan yang mencukupi dan berkhasiat pada harga yang berpatutan," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Tegasnya keadaan itu amat membimbangkan kerana 25 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kurang berat badan atau tumbesaran terbantut disebabkan tabiat pemakanan yang kurang sihat.

"Ini akan menjejaskan potensi pembelajaran serta produktiviti tenaga kerja masa depan. Jika dibiarkan, ia akan mengukuhkan kitaran kemiskinan dan ketidaksamaan antara generasi.

"Kerajaan mesti segera menangani isu peningkatan harga makanan dengan segera.

"Pemantauan harga mesti dilaksanakan dengan agresif. Jangan biarkan apa jua bentuk memanipulasi harga pasaran berlaku," katanya.

Tambah Mohamad kerajaan juga perlu memperkasakan sistem maklumat pasaran untuk makanan dan bangunkan kesedaran pengguna untuk memantau harga pasaran.

Selain itu dia turut menyarankan agar diperkenalkan kupon atau ‘voucher’ makanan bagi membolehkan akses kepada makanan berkhasiat bagi keluarga yang paling terkesan.

"Kapasiti pengeluaran makanan negara mesti setanding dengan negara pertanian serantau di Asean.

"Kini, pengeluaran sumber makanan negara masih bergerak pada kadar perlahan disebabkan penggunaan teknologi rendah, cabaran kawalan penyakit, perubahan cuaca, dan kerugian lepas-tuai yang tinggi," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, inovasi dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk membina ketahanan terhadap faktor cuaca yang tidak menentu serta perubahan pasaran adalah pelaburan penting bagi memastikan sekuriti makanan negara akan lebih lestari dan terjamin.

"Kita perlu membangunkan semula sektor agro-makanan yang telah lama dipinggirkan disebabkan penekanan kepada sektor perindustrian mulai tahun 1980-an," katanya.