Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tarikh akhir maklum balas awam isu PDF Lynas dilanjut hingga 30 Nov

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melanjutkan tarikh akhir untuk maklum balas orang ramai mengenai rancangan Lynas untuk membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) di Kawasan Perindustrian Gebeng di Kuantan, Pahang.

Seorang pegawai JAS mengesahkan dengan Malaysiakini ketika dihubungi hari ini bahawa tarikh akhir penyerahan maklum balas orang ramai telah dilanjutkan ke 30 Nov.

Penilaian kesan alam sekitar (EIA) tidak lagi boleh diakses secara umum kerana tempoh tontonan berakhir pada 11 Nov.

Projek itu adalah untuk menguruskan pelupusan sisa penulenan air radioaktif larut lesap (WLP) daripada loji nadir bumi Lynas.

Tapak cadangan terletak di Lot 31375, Kawasan Perindustrian Kuantan Gebeng, yang terletak 30m dari Loji Bahan Termaju Lynas (Lampu).

Menurut JAS, projek itu berkeluasan 25 hektar dan akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Gading Senggara Sdn Bhd (GSSB) ialah kontraktor untuk pembinaan PDF manakala laporan EIA disediakan oleh firma perunding Dr Nik & Associates Sdn Bhd.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah merupakan pemegang saham majoriti GSSB.

Kumpulan alam sekitar Save Malaysia, membangkitkan beberapa perkara dalam bantahannya terhadap PDF itu, yang dikongsikannya dengan Malaysiakini.

Bantahan pertama adalah mengenai kawasan yang dicadangkan, yang dikatakan tidak sesuai kerana ia adalah tanah gambut tropika rendah yang terdedah kepada banjir dan kebakaran.

Save Malaysia juga menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan "salah klasifikasi" WLP, yang dikatakan bahawa Lynas dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom tersilap mengklasifikasikannya sebagai sisa radioaktif tahap sangat rendah, sedangkan kerajaan Australia Barat mengklasifikasikannya sebagai sisa radioaktif tahap rendah.

"Pengkelasan yang tidak betul dan di bawah standard di Malaysia akan mengakibatkan pengurusan yang lemah, peningkatan kos penyelenggaraan, bahaya dan pendedahan radiasi yang akan memberi kesan negatif kepada kesihatan awam dan alam sekitar untuk Malaysia dalam jangka panjang," dakwa Save Malaysia.

Feini Tuang, seorang penduduk Kuantan yang memiliki ijazah sarjana dalam kejuruteraan biosistem turut menimbulkan kebimbangan mengenai klasifikasi WLP.

Dia juga berkata bahawa iklim di Malaysia tidak sesuai untuk penyimpanan sisa radioaktif.

"Iklim hutan hujan tropika dengan hujan monsun lebat dan tanah gambut mudah banjir dan kebakaran dengan air bawah tanah cetek tidak sesuai untuk tapak pelupusan sisa radioaktif berbanding padang pasir gersang di Mt. Weld (pusat operasi Lynas).

“Sebagai rakyat yang prihatin, saya menentang sekeras-kerasnya cadangan pembinaan PDF itu. Sisa itu milik Lynas

dan rakyat Malaysia tidak sepatutnya terbeban atau menerimanya," katanya dalam pengenalan kepada penyerahan maklum balas setebal 16 muka surat.

[Baca berita asal]