Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ada yang tidak kena dengan undi tentera, kata pemimpin Umno Melaka

Timbalan Pengerusi Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad mendapati adalah sukar untuk menerima hakikat bahawa dirinya tewas dalam 17 daripada 18 saluran mengundi di kalangan anggota tentera di Sungai Udang semasa pilihan raya Melaka minggu lalu.

Mohamad Ali berkata belum pernah terjadi dalam sejarah sejak merdeka mana-mana calon BN boleh tewas sedemikian dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Soal kalah atau menang itu adat pertandingan tetapi kekalahan saya hanya menang di satu saluran pengundi tentera sangat-sangat mengejutkan.

“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dan kewajarannya apabila 17 daripada 18 saluran saya tewas. Perkara ini sedang dikaji dan melihat mungkin berlaku gerak kerja luar jangka oleh pihak-pihak tertentu,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia.

Dia juga terkejut dengan keputusan itu kerana calon Perikatan Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof bukan anak jati dan tidak dikenali di Sungai Udang oleh penduduk tempatan sehingga pilihan raya itu.

Dr Mohd Aleef melakar kemenangan mengejut di Sungai Udang Sabtu lalu dengan mengaut 43.65 peratus undian.

Sungai Udang adalah satu daripada dua kerusi yang dimenangi oleh PN pada pilihan raya negeri, satu lagi adalah kerusi Bemban.

Tidak menyokong BN bukan sesuatu yang asing di kalangan tentera.

Semasa pilihan raya umum 2018, hanya 53.81 peratus undi tentera berpihak kepada BN. 25.15 peratus lagi menyokong PAS, dan 20.25 peratus mengundi Pakatan Harapan.

Pada pilihan raya Sabtu lalu, Dr Mohd. Aleef yang mendapat 6,789 undi menewaskan Mohamad Ali yang memperoleh 6,259 undi; Hasmorni Tamby (PH), 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas), 471 undi.