Isu Gatco: Ramasamy mahu jumpa Anwar, MB
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy bercadang untuk berjumpa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berhubung isu tanah peneroka Kampung Gatco.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu berkata demikian selepas peneroka Gatco pada 18 November lalu menyerahkan satu memorandum kepadanya dalam usaha membawa isu tanah tersebut kepada perhatian pucuk pimpinan PH.
"Peneroka datang dan berjumpa dengan saya pada 18 November. Mereka memohon nasihat dan bantuan supaya isu mereka di bawa ke perhatian pucuk pimpinan PH.
"Saya telah berjanji akan membawa isu tersebut kepada perhatian Anwar selaku pengerusi PH dan seterusnya kepada menteri besar Aminuddin agar satu penyelesaian penuh kepada peneroka Gatco," katanya kepada Malaysiakini.
Tanah yang menjadi pertikaian itu adalah seluas kira-kira 4,700 ekar. Ia telah dipajakkan kepada The Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) pada tahun 1977 oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC).
Gatco ditubuhkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) bagi tujuan skim pembangunan tanah untuk ahli-ahlinya.
Peneroka sekarang telah membayar RM7,600 sebagai deposit untuk menjelaskan plot tanah yang diperuntukkan sebagai sebahagian daripada skim pembangunan itu.
Tanah tersebut pada awalnya dirancang untuk penanaman tebu. Namun apabila Gula NS ditutup pada tahun 1979, tanah tersebut digunakan untuk penanaman getah pada tahun 1983.
Namun, Gatco kemudian menghadapi masalah kewangan dan menyebabkan projek berkenaan terbengkalai serta gagal. Gatco diiktiraf muflis pada tahun 1998.
Susulan itu, tanah tersebut telah dijual dalam lelongan awam pada 2004. Usaha peneroka untuk mendapatkan tanah tersebut dalam proses lelongan gagal dan Thamarai Holdings berjaya membidanya pada 2004.
Namun, dalam perjanjian antara pelikuidasi Gatco dan Thamarai, termeterainya syarat bahawa Thamarai perlu menawarkan enam hingga lapan ekar kepada peneroka Gatco dan ini dipersetujui oleh syarikat berkenaan.
"Ketika berjumpa, peneroka memberitahu bahawa mereka tidak setuju tanah lapan ekar kini dikurangkan kepada empat ekar. Mereka berkata bahawa empat ekar tidak optimum untuk melakukan pertanian.
"Tanah Gatco ini adalah satu isu lebih 40 tahun. Saya harap dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri secepat mungkin," kata Ramasamy.
Skim Gatco ini umpama Felda dengan setiap peserta dijanjikan tanah seluas 10 ekar.
Bagaimanapun, selepas Thamarai Holdings mengambil alih tanah tersebut, mereka hanya memberikan kerajaan negeri sebanyak 1206 ekar sebagai balasan kerana tempoh pajakan ditambah dari 30 tahun kepada 99 tahun.
Kerajaan negeri semasa BN memerintah membuat keputusan untuk hanya memberikan empat ekar kepada peneroka asal dan dua ekar kepada pembeli.
Pada ketika itu, Pakatan Harapan berjanji akan memperjuangkan nasib dan memberikan lapan ekar kepada peneroka asal dan empat ekar kepada pembeli dan ini juga dikatakan selepas mereka mengambil alih kerajaan negeri.
Namun sehingga kini, kerajaan negeri masih belum dapat menyelesaikan isu tersebut.
Peneroka menuntut kerajaan negeri campur tangan untuk mendapatkan lapan ekar seperti yang tertera dalam perjanjian antara pelikuidasi Gatco dan Thamarai Holdings.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai