PM Sweden letak jawatan tak sampai sehari dilantik
GLOBAL | Perdana menteri wanita pertama Sweden, Magdalena Andersson meletakkan jawatan semalam, tidak sampai sehari selepas dilantik.
Menurut Reuters, Andersson yang merupakan pemimpin Parti Sosial Demokrasi mengambil langkah itu setelah Parti Hijau menarik diri daripada gabungan, selepas Parlimen tidak meluluskan rang undang-undang belanjawan yang dibawa gabungan itu.
Bagaimanapun Andersson berkata dia telah memberitahu speaker Parlimen yang dia berharap dilantik semula sebagai ketua kerajaan parti tunggal.
"Saya sedia menjadi perdana menteri bagi kerajaan Sosial Demokrasi," katanya dalam sidang media seperti dipetik.
Menurut Reuters lagi, ia kemungkinan berlaku kerana Andersson turut disokong parti-parti lain yang berkongsi matlamat sama, iaitu menghalang Parti Demokrat, yang antaranya bersikap anti-imigran, daripada mempunyai peranan dalam kerajaan.
Parti Hijau berkata pihaknya akan menyokong Andersson dalam undian baru di Parlimen.
Parti berhaluan tengah, Centre Party akan mengambil pendirian berkecuali manakala parti berhaluan kiri, Left Party akan menyokongnya, menurut Reuters lagi.
"Centre Party akan membuka pintu untuknya (Andersson) untuk menjadi perdana menteri.
"Kami akan pastikan, sekali lagi, yang Sweden akan memiliki kerajaan yang tidak bergantung kepada Parti Demokrat," kata pemimpinnya, Annie Loof di Twitter.
Dua lagi parti pembangkang yang berhaluan kanan, iaitu Parti Moderat dan Parti Kristian Demokrat tidak memiliki majoriti di Parlimen.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai