Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

37 kematian Covid-19 dilaporkan, kes aktif meningkat

Repositori data Github Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 37 kematian akibat Covid-19 semalam (24 Nov), menjadikan jumlah kumulatif kematian kepada 30,147.

Malaysia mempunyai jumlah kematian per kapita tertinggi di rantau Asean dan Asia Timur dengan 913 kematian bagi setiap 1 juta penduduk.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan semalam, 24.3 peratus atau sembilan orang meninggal dunia sebelum mendapat rawatan di hospital.

Terengganu mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu tujuh orang, atau 18.9 peratus daripada kematian baru yang dilaporkan.

Kes kematian selrbihnya Negeri Sembilan (5), Sabah (5), Kelantan (4), Selangor (4), Johor (3), Perak (3), Kedah (2), Pahang (2), Sarawak (1) dan Kuala Lumpur (1).

Menurut laman CovidNow, Sejak dua minggu lalu, Terengganu, Kelantan dan Sarawak mencatatkan jumlah kematian yang tertinggi.

Kelantan dan Terengganu juga pada masa ini mencatatkan kadar penggunaan katil hospital tertinggi di kalangan pesakit wabak ini.

Sebanyak 36 daripada 37 kematian yang dilaporkan atau 97.3 peratus berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 55 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir berbanding purata tujuh hari sebanyak 45, menunjukkan pola menurun.

Sehingga kini, 1,334 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 2,704 kematian Covid-19 dilaporkan pada Oktober, 9,678 pada September, 7,642 pada Ogos dan 3,858 pada Julai.

Peningkatan jangkitan

Setakat semalam, terdapat 69,261 kes aktif Covid-19. Ini adalah peningkatan sebanyak 3.7 peratus daripada 66,795 jangkitan aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 5.4 peratus daripada 73,225.

Jumlah kes aktif menunjukkan trend peningkatan sejak dua minggu lalu di Malaysia, kecuali di Melaka dan Sarawak.