Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Edar ganja lebih 700 gram, penghantar makanan dihukum gantung

Seorang penghantar makanan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Johor Bahru hari ini selepas didapati bersalah mengedar 764.90 gram dadah jenis kanabis, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menjatuhkan hukuman itu ke atas Izad Shahizal Pungot, 41, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Kamal berkata pihak pembelaan gagal menyangkal anggapan di bawah Seksyen 37(da) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap pengedaran dadah, oleh itu mahkamah mendapati tertuduh bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Izad Shahizal didakwa mengedar dadah itu di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah, di sini kira-kira 9.30 malam, 16 Jan 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang berlangsung sejak 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala peguam Shaik Saleem S. M. Daud mewakili tertuduh.

-- BERNAMA