Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

K'jaan diminta tak tergesa-gesa laksanakan had umur pertubuhan belia

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran meminta Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu supaya tidak melaksanakan had umur bawah 30 tahun untuk pertubuhan belia seluruh Malaysia secara tergesa-gesa.

"Saya menyokong penuh usaha yang dilakukan oleh pihak KBS.

"Namun, berharap ia mendapat pertimbangan supaya dilaksanakan dengan proses yang sewajarnya oleh Faizal Azumu kerana pelaksanaan yang tergesa-gesa ini menimbulkan kegusaran pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut wakil rakyat termuda dalam sejarah itu, penggubalan had umur ini adalah ketika Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerajui KBS pada tahun 2019.

"Namun, saya difahamkan pelaksanaan tersebut dilakukan secara berperingkat mulai umur bawah 35 tahun," tambahnya.

Katanya, ia melibatkan pemegang taruh setiap pertubuhan belia yang memerlukan persediaan malah tiada konsultasi sebaiknya oleh pihak KBS dalam pendaratan landai (soft landing) untuk pertubuhan-pertubuhan belia.

Justeru, menurutnya, ini menyebabkan ia mengganggu aktiviti pertubuhan tersebut kerana kebanyakan ahli sepenuh masa berumur lebih 30 tahun.

"Saya kira perlu ada pertimbangan sewajarnya tentang hal ini memandangkan sepanjang tahun 2020 negara menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mengakibatkan banyak kerja terpaksa ditangguhkan.

"Oleh itu, perlu ada satu kerangka masa untuk soft landing sebelum pelaksanaan had umur belia bawah 30 tahun dilaksanakan sepenuhnya kerana saya khuatir ia akan mendatangkan masalah yang lebih besar apabila tiada persiapan rapi oleh pemegang taruh pertubuhan belia yang akan merencatkan aktiviti-aktiviti mereka," katanya.

Faizal sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan had umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2022.