Speaker digesa campur tangan henti siasatan polis pada MP Warisan
Pemimpin pembangkang menggesa Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun supaya menghentikan ugutan terhadap Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), yang kini disiasat polis berhubung ucapannya di Parlimen.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) adalah antara yang tampil di Dewan Rakyat hari ini menyatakan bantahan terhadap siasatan ke atas Azis.
“Speaker sendiri tidak menghentikan ucapannya, jadi kita tidak faham kenapa hak dan keistimewaan ahli parlimen semasa berucap di parlimen boleh diperlekehkan.
“Ini menunjukkan sikap double standard dan ugutan terhadap pembangkang, tidak kira PH atau Warisan.
"Kami berharap Speaker akan membuat ketetapan... Speaker harus menjaga kedaulatan Parlimen," kata Lim di parlimen hari ini.
Lim juga menegaskan bahawa tiada tindakan telah diambil terhadap ahli parlimen kerajaan yang mencadangkan menutup sekolah vernakular.
Azis semalam berkata dia telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis berhubung ucapannya di parlimen mengenai Belanjawan 2022, di mana dia telah memberi amaran mengenai gesaan yang semakin meningkat supaya Sabah keluar dari Malaysia kerana peruntukan belanjawan yang “tidak adil”.
Ahli parlimen mempunyai kekebalan undang-undang untuk bersuara secara bebas di dalam Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, ini tidak terpakai kepada kes yang melibatkan Akta Hasutan.
Lim juga telah mempertahankan Azis, mengatakan bahawa ahli parlimen Warisan itu tidak berkata dia mahu Sabah berpisah daripada Malaysia, tetapi hanya berkongsi situasi di Sabah.
Sementara itu, Anwar berkata siasatan ke atas Azis ini telah mencipta duluan berbahaya di Dewan Rakyat.
Anwar juga berkata Azis sepatutnya dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan di Parlimen jika ucapannya dianggap bermasalah, bukannya dikenakan tindakan polis.
"Parlimen mempunyai cara tersendiri untuk mengambil tindakan apabila ahli parlimen yang melanggar peraturan...Saya menggesa Speaker campur tangan," kata Anwar.
Azhar kemudiannya telah memanggil Azis untuk menerangkan sisi ceritanya.
Azis menegaskan dia hanya menyatakan sentimen di Sabah dan Sarawak bagi menonjolkan kepentingan melaksanakan terma Perjanjian Malaysia 1963.
“Ini adalah sentimen rakyat Sabah dan Sarawak. Kami tidak mahu berpisah dengan Malaysia.
“Saya memberi ucapan selepas Jeffrey Kitingan (Perikatan Nasional-Keningau) dan dia berkata perkara yang sama: jangan tunggu sehingga ‘angsa emas’ pergi.
“Mengapa saya dipanggil (oleh polis) tetapi bukan Keningau. Ini soalan saya,” kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.
Sebagai maklum balas, Azhar berkata dia akan meneliti ucapan Azis dan berhubung dengan pihak berkaitan bagi mempertahankan hak ahli parlimen untuk bersuara secara bebas di Parlimen.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai