Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAC: Pembayar cukai tanggung penyelamatan 'keterlaluan' syarikat AES

PARLIMEN | Kerajaan telah melakukan penyelamatan (bail out) secara tidak langsung dan tidak wajar kepada dua syarikat yang mengendalikan sistem penguatkuasaan automatik (AES) kamera trafik pada 2012, menurut laporan terbaru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Laporan yang dibentangkan di parlimen hari ini menyatakan bahawa kerajaan menerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah membelanjakan RM555 juta pada 2015 untuk mengambil alih dua kontraktor AES - Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

Ini meskipun penilaian KPMG untuk dua syarikat itu hanyalah RM251 juta. KPMG dilibatkan oleh Kementerian Kewangan pada 2013 sebagai sebahagian proses usaha wajar (due diligence).

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang memberi keterangan kepada PAC, berkata keputusan muktamad dibuat semasa pertemuan antara perdana menteri ketika itu Najib Razak, menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu, Abdul Wahid Omar; menteri kewangan II ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah dan menteri pengangkutan ketika itu, Liow Tiong Lai.

“Perbincangan ini tidak mempunyai minit mesyuarat dan memutuskan supaya LTAT mengkaji cadangan pengambilalihan AES.

“Berdasarkan mesyuarat panel pelaburan LTAT, cadangan supaya LTAT mengambil alih Ates dan Beta Tegap adalah daripada perdana menteri, yang berpandangan bahawa LTAT adalah sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan lebih diterima oleh rakyat berbanding sekiranya syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan mengambil alih Beta Tegap dan Ates yang boleh menyebabkan kerajaan dituduh cuba melaksanakan bail-out,” kata laporan itu.

Ketika timbalan ketua sekretariat JKSTUPKK Mohd Salim Ali disoal PAC apakah LTAT ada menyediakan justifikasi untuk pembayaran RM555 juta yang lebih tinggi daripada penilaian KMPG itu, dia menjawab tidak ada.

Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur, pengerusi PAC): Okey ada justifikasi dari LTAT tak dalam siasatan JKS (JKSTUPKK)?

Mohd Salim: Tidak ada justifikasi. Tidak dapat dijustifikasi, dia kata it is between (di antara) LTAT dengan syarikat - willing buyer, willing seller.

Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort): Mereka tidak berpandukan kepada nilai yang diberikan oleh KPMG.

Mohd Salim: Ya.

Dalam laporan sulitnya, JKSTUPKK mengesyorkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan susulan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) ke atas kos pengambilalihan yang dianggap melebihi nilai pasaran itu.

Mohd Salim memberitahu PAC bahawa mungkin terdapat sogokan (kickback) dalam urusan berkenaan.

JKSTUPKK turut memohon bantuan Bank Negara untuk membuat jejak aliran wang (money trail) yang mana dokumennya telah diserahkan kepada SPRM untuk meneruskan siasatan, namun tidak menerima sebarang maklumat sehingga sekarang.

Ketika ditanya oleh Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands), penolong pesuruhjaya SPRM Nur Hayati Abd Hamid menjelaskan siasatan bermula pada 2018 dan masih lagi berjalan. Ramli yang merupakan bekas pegawai polis, menuntut agar SPRM memberikan lebih perincian.

Berdasarkan laporan PAC itu, projek AES bermula pada Mei 2008. Menteri Pengangkutan ketika itu Ong Tee Keat berkata projek itu perlu diswastakan ekoran faktor kos.

Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi menyatakan persetujuan pada Disember 2008, meskipun menerima bantahan daripada ketua setiausaha ketika itu yang percaya bahawa AES harus dikawal selia oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Audit Negara ketika itu Ambrin Buang memberitahu PAC bahawa JPJ boleh mengendalikan projek itu sendiri dengan mudah.

Penyiasat JKSTUPKK, Mohd Tap Salleh memberitahu PAC bahawa dia berpandangan ada pihak mahu membuat duit daripada projek berkenaan.

“... ada banyak duit untuk dibuat. Saya rasa inilah dia (sebabnya) - Saya tidak percaya pada teori konspirasi, tetapi (projek) ini mahu berkomplot untuk menipu rakyat Malaysia sebenarnya,” katanya.

Rancangan asal adalah menggunakan AES untuk mengeluarkan saman RM300 kepada pemandu yang memandu melebihi had laju dan syarikat-syarikat berkenaan akan dibayar mengikut struktur tiga peringkat yang diguna pakai.

Peringkat pertama adalah syarikat menerima RM16 untuk setiap saman dikeluarkan, sehingga maksimum RM160 juga setahun nilai gabungan bagi kedua-dua kontraktor berkenaan.

Peringkat kedua adalah separuh daripada baki pembayaran saman yang diterima kontraktor selepas ditolak pembayaran tingkat pertama, sehingga maksimum RM540 juta setahun bagi kedua-dua kontraktor.

Peringkat terakhir pula adalah 7.5 peratus daripada baki pembayaran saman selepas ditolak pembayaran dibuat di tingkat kedua, kepada syarikat-syarikat itu.

Baki selepas itu adalah jumlah yang diterima oleh kerajaan.

Pada Ogos 2018, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk membiarkan perjanjian konsesi AES tamat pada 1 Sept. Ekoran ini, kerajaan mengambil alih semula penguatkuasaan semua kamera.

Ini menyebabkan LTAT membuat tuntutan sebanyak RM894.3 juta daripada kerajaan atas nilai yang telah laburkan ke atas sistem AES.

Setakat Julai 2019, kerajaan telah membayar balik RM669 juta kepada LTAT.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata PAC berpandangan bahawa pelaksanaan AES secara penyumberan luar (outsourcing) kepada syarikat swasta adalah “tidak wajar” dan sepatutnya dijalankan oleh JPJ.

Lebih-lebih lagi, katanya, arahan Putrajaya agar LTAT mengambil alih Ates dan Beta Tegap adalah merupakan satu tindakan “bailout secara tidak langsung” oleh kerajaan.

Tambah Wong, PAC berpandangan bahawa kos pengambilalihan oleh LTAT berjumlah RM555 juta adalah melebihi nilai (overvalue) dan keterlaluan (exorbitant).

Terma kontrak berkaitan fi perkhidmatan yang dibayar kepada syarikat konsesi juga, tambahnya, bukan sahaja tidak memihak kepada kerajaan, bahkan merugikan.

Katanya lagi, PAC mengesyorkan agar kerajaan menyahklasifikasikan laporan siasatan JKSTUPKK terhadap AES dan bahawa SPRM hendaklah menyiasat jika ada sogokan (kickbacks) terlibat dalam urusan itu.

PAC merupakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh parlimen untuk menyiasat hal ehwal kewangan kerajaan. Ia boleh menjalankan pendengaran dan memanggil mana-mana pegawai kerajaan untuk disoal.

Laporan PAC mengenai AES boleh dilihat di sini.