Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tak bentang prestasi Petronas bukan bermakna dirahsiakan - menteri

Tidak ada sebab kenapa kerajaan perlu merahsiakan laporan prestasi kewangan Petronas, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata ini laporan prestasi kewangan tersebut boleh diakses oleh orang awam menerusi laman web syarikat.

“Petronas tidak merahsiakan pretasi kewangannya, tapi Petronas membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai perkembangan dan pencapaian syarikat khususnya prestasi kewangan pada setiap suku tahun dan tahunan di laman sesawangnya yang boleh diakses oleh orang awam walaupun Petronas bukan disenarai di Bursa Saham.

“Selain itu Petronas mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media dan taklimat setiap suku tahunnya. Jadi, ia bukan rahsia. Petronas sentiasa mengamalkan tadbir korporat yang baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mustapa berkata demikian menjawab pertanyaan Madius Tangau (PH-Tuaran) yang meminta perdana menteri menyatakan kenapakah laporan prestasi kewangan petronas melalui laporan tahunan dirahsiakan dan tidak dilaporkan kepada parlimen sejak mula beroperasi sehingga sekarang.

Mustapa berkata tiada keperluan laporan terbabit dibentang di Dewan Rakyat memandangkan ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, Mustapa berkata walaupun laporan kewangan itu tidak dibentangkan di Parlimen, ia tidak bermakna kerajaan tidak mengetahui operasi Petronas.

“Kenapa (laporannya) tidak dimaklumlum di parlimen kerana ia tak diperlukan oleh undang-undang, tak ada akta yang memaksa Petronas bentang di Parlimen.

“Tapi walaupun tidak dibentang di parlimen bukan bermakna kita tak tahu operasi petronas, tak dibentang bukan nak rahsia, walaupun petronas bukan tersenarai di bursa saham tapi petronas mengambil pendirian untuk memaklumkan prestasinya kepada umum,” katanya.