Liew: PH perlu 'reset' lepas kalah teruk di Melaka
Bagi pemimpin DAP Liew Chin Tong, PH kalah pertarungan dengan pencapaian buruk dalam PRN Melaka tetapi ia tidak semestinya gabungan itu akan tewas dalam "peperangan utama".
Liew yang merupakan pengarah pendidikan politik DAP berkata PH memerlukan satu halangan, sama seperti ketika ia mengatasi kekalahan besar di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.
"Pada 18 Jun 2016, PH kalah teruk di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"Tetapi kira-kira dua tahun kemudian, iaitu pada Mei 2018, rakyat Malaysia mengundi untuk menukar kerajaan buat kali pertama.
"Kita mesti bangkit daripada kekalahan untuk merangka strategi lebih baik untuk pertarungan seterusnya," katanya ketika berucap dalam acara untuk sukarelawan dan pekerja kempen PRN Melaka hari ini.
BN berjaya meraih majoriti dua pertiga apabila menang 21 daripada 28 kerui DUN. Perikatan Nasional (PN) pula menang dua kerusi.
DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi yang disandang, Amanah menang satu daripada dua kerusinya manakala PKR kalah di kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu.
"Kemenangan pada 2018 boleh dikaitkan dengan penjajaran besar yang dibuat pada 2017.
"PH memerlukan satu 'reset' untuk menjadikan gabungan ini satu 'khemah besar' yang menyatukan semua pihak yang menentang politik lama Umno/BN dan PN.
"PH yang melalui penyusunan semula ini kemudian perlu menjadi pilihan untuk semua pengundi muda dan pengundi atas pagar," kata Liew.
'Kita tak boleh putus asa'
Liew membangkitkan dua kekalahan DAP iaitu di Pengkalan Batu dan Duyong - masing-masing dengan 65 peratus dan 60 peratus pengundi Melayu - hanya dengan perbezaan 131 dan 200 undi.
"Di DUN luar bandar iaitu Bemban dan Gadek, yang memiliki kira-kira 60 peratus pengundi Melayu, DAP kalah dengan perbezaan 1,116 dan 559 undi.
"Kita kesal dengan kekalahan ini tetapi kita tak boleh putus asa. Keputusan (pilihan raya) menunjukkan kita boleh menang di kerusi-kerusi ini dengan sedikit peralihan sokongan daripada pengundi muda dan atas pagar," katanya lagi.
Liew berkata pengundi muda Melayu yang tidak dapat menerima Umno/BN telah menyokong PN pada PRN semalam.
"Kita perlu berikan PH wajah segar dan pengisian (substance) baru agar pengundi atas pagar akan memilih kita berbanding Umno/BN atau PN.
"Persediaan untuk pertarungan seterusnya bermula hari ini. Inilah masanya untuk reset dan suntik faktor pengubah (game-changer) yang baru ke dalam politik nasional untuk memberi harapan kepada rakyat, dan agar rakyat terus melihat PH sebagai obor yang membawa harapan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai