Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR: Walau SPR akui silap, tetap ada risiko manipulasi undi

PRN MELAKA | PKR pagi tadi mendakwa seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menghalau seorang ejen tempat undi parti itu di pusat sebuah mengundi di Ayer Molek kerana bertugas melebihi tempoh masa dibenarkan.

Mohd Bazain Yusof, yang mewakili calon Paktatan Harapan (PH) Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim kemudiannya segera membuat laporan polis di balai polis di daerah Kandang mengenai perkara itu.

Mengikut Seksyen 14(1A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, setiap ejen pengiraan undi bagi pihak calon dikehendaki kekal menjalankan tugas di pusat mengundi sekurang-kurangnya dua jam.

PKR mempersoalkan kemungkinan berlaku manipulasi pada undi, memandangkan tiada wakil PH di saluran mengundi sekurang-kurannya setengah jam selepas insiden itu.

"Sangat pelik bahawa ejen kami seorang sahaja yang diminta keluar, tetapi bukan dari pihak lain," kata Rafee yang keliru pada sidang media di Ayer Molek hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya memberi jaminan bahawa pada masa sidang media itu diadakan, perkara itu telah diselesaikan.

Mereka mendakwa bahawa SPR telah mengakui kesalahan dalam isu itu dan telah membetulkan perkara itu.

“Perkara itu sudah selesai, dan kita tidak lagi mempunyai isu dengan pegawai (SPR) terbabit. Isunya sudah selesai,” kata Rafee.

Bagaimanapun, penasihat undang-undang PKR G Manivanan berkata mereka tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat.

"PRN masih sedang berjalan, jadi kita tak nak buat apa-apa keputusan. Kalau kerjasama itu dibuat dengan ikhlas jadi kita terima dengan hati yang terbuka," katanya.

Sementara itu, Manivanan membangkitkan isu berasingan mengenai Borang 14 SPR.

Borang 14 adalah pernyataan rasmi yang merumuskan keputusan pemilihan dari sebuah pusat pengundian dan perlu ditandatangani oleh pegawai yang bertugas.

Dia mendakwa, notis rasmi SPR di setiap pusat mengundi menyatakan Borang 14 boleh ditandatangani oleh ejen kira undi parti dan tidak perlu ditandatangani oleh ketua tempat mengundi (KTM)/pegawai pengurus.

Notis itu, yang dilihat oleh Malaysiakini, menekankan bahawa KTM tidak perlu menandatangani borang tersebut.

PKR bimbang jika Borang 14 tidak ditandatangani oleh KTM, ia tidak akan disahkan di mahkamah dan dari segi undang-undang.

“Jika KTM tidak menandatanganinya, dan SPR tidak cop padanya, akan timbul isu selepas ini (pilihan raya)

“Sebagai contoh, dalam hal mahkamah, Bagaimanakah Borang 14 akan disahkan?” soal Manivanan.

Manivanan berkata dia akan menghubungi pengerusi SPR Melaka untuk menuntut penjelasan berhubung perkara itu.

Sebelum ini, SPR mengambil maklum bahawa insiden KTM yang enggan menandatangani Borang 14 tidak sepatutnya berlaku.

Pada hari mengundi ketika PRU14, iaitu pada 9 Mei 2018, kerisauan juga dibangkitkan berhubung penangguhan dalam menandatangani borang itu.