Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Guan Eng gesa PH minta undi belah bahagi bantah JPM

Lim Guan Eng menggesa ahli parlimen PH untuk mengadakan undian belah bahagi terhadap Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Parlimen berhubung beberapa isu nanti.

Isu yang dibangkitkannya adalah pemberian hartanah bernilai RM100 juta kepada bekas perdana menteri Najib Razak, keputusan JPM untuk tidak meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta peruntukan Belanjawan 2022 yang menurutnya tidak adil dan tidak mencukupi.

“Walaupun Najib telah menarik balik permohonannya atas tujuan politik agar tidak menjejaskan sentimen pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tidak ada jaminan dia tidak akan memohon semula nanti.

“Sama ada Najib membuat keputusan untuk memohon semula selepas ini untuk hartanah RM100 juta itu, keputusan asal kabinet untuk memberikan kelulusan adalah salah dan mesti ditukar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim menyifatkan keputusan itu sebagai "jelas salah" dan menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, memandangkan persetujuan itu dibuat meskipun Najib telah disabitkan kesalahan atas salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Najib juga katanya telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, menyebabkan keputusan berkenaan “mempersendakan” konsep Keluarga Malaysia dibawa Ismail kerana hanya menguntungkan "keluarga politik terdekat" berbanding rakyat.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, mengesahkan kabinet menerima permohonan itu dari Najib yang sedang menunggu untuk “dimuktamadkan”, menyebabkan dia dipersoal segelintir wakil rakyat apakah itu bermaksud keputusan atau persetujuan awal terhadap permohonan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam pula mengesahkan bahawa kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk menganugerahkan Najib sebidang tanah dan rumah yang dilaporkan bernilai RM100 juta.

Dia berkata keputusan itu berdasarkan alasan bahawa ia adalah hak Najib mengikut peruntukan undang-undang, tetapi masih tertakluk kepada pertimbangan lanjut.

Isu itu menyebabkan pemimpin-pemimpin PH menyuarakan hasrat untuk mengkaji semula memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

Untuk rekod, semalam, Najib telah menarik balik permohonannya itu kerana mengambil kira keadaan rakyat yang berdepan saat sukar.

Berhubung peruntukan belanjawan yang didakwanya tidak adil dan tidak mencukupi, Lim berpandangan Belanjawan 2022 gagal mengagihkan peruntukan berdasarkan keperluan "tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang khususnya untuk Sabah, Sarawak dan semua rakyat".

“Peruntukan belanjawan tambahan di samping Belanjawan 2022 berjumlah RM332 bilion yang berhemat tidak akan menjejaskan tahap hutang atau defisit dengan banyak tetapi mungkin kritikal dalam menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya lagi.

Selain itu, Lim turut menggesa undian belah bahagi dilakukan bagi membantah keputusan JPM yang enggan meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Sebaliknya, kata Lim, kerajaan sekarang hanya akan membenarkan HSR berhenti di Johor Bahru dan menetapkannya semula sebagai HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru.