Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH dan PN 'hentam' Najib, rasuah tapi BN kata partinya bukan dinosaur

PRN MELAKA | Tiga gabungan utama politik melakukan kempen terakhir untuk pilihan raya negeri malam ini melalui beberapa acara maya dengan PH dan PN saling menuduh antara satu sama lain, termasuk BN, melakukan rasuah.

Dalam pada itu, BN membangkitkan rekod prestasi gabungan itu dalam membangunkan negara sejak beberapa dekad lalu dan turut menegaskan ia bukan "dinosaur" yang takut kepada pembahuruan.

Kepimpinan PH, pada ceramah maya mereka malam ini, menimbulkan isu kelulusan kerajaan untuk memberikan bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabitkan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah, sebuah kediaman dianggarkan bernilai RM100 juta.

Najib sejak itu mengumumkan dia menarik balik permohonannya untuk mendapatkan faedah sebagai bekas perdana menteri kerana dia tidak mahu ia menjadi isu kempen dalam pilihan raya Melaka.

Tetapi itu tidak menghalang pemimpin PH daripada memainkan isu berkenaan.

PH mendakwa Najib memutuskan untuk menarik balik permohonan hartanah RM100 juta itu kerana kemarahan rakyat dan semangat yang sama harus dicontohi dalam pilihan raya Melaka untuk menghentikan rasuah.

"Bila rakyat bersuara bangkit (isu hartanah RM100 juta)... Apa berlaku? Najib terpaksa tarik balik kata dia akan tolak," kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencadangkan tindakan Najib itu hanya untuk mengelak kontroversi kerana rakyat Melaka akan turun mengundi esok tetapi boleh memperbaharui tawarannya untuk ganjaran mewah itu selepas pilihan raya.

'RM100 juta untuk Najib dan Ismail keluar'

Presiden Amanah Mohamad Sabu mengisytiharkan PH akan menuntut penyingkiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika kerajaan persekutuan BN-PN meneruskan penganugerahan hartanah itu kepada Najib.

"Dalam keadaan nak buat kerjasama (MOU PH dan kerajaan persekutuan) ini tiba-tiba keluar bahawa kerajaan nak beri (hartanah) RM100 juta kepada Najib Razak.

"Saya dan kami (PH) akan tentang habis-habisan kalau kerajaan beri (hartanah) RM100 juta ini," katanya.

Sementara itu, ceramah PN terlalu menggembar-gemburkan mesej antirasuah tetapi tidak mengendahkan kontroversi Najib yang dituduh bertanggungjawab terhadap sebahagian masalah itu.

Sebaliknya, Presiden Gerakan Dominic Lau memperbesar kes rasuah Lim membabitkan terowong dasar laut Pulau Pinang yang perbicaraan masih berlangsung.

Muhyiddin juga menyoal mengapa calon PN yang bertanding dalam pilihan raya Melaka boleh menandatangani ikrar antirasuah tetapi BN dan PH tidak mengikutnya.

Berikrar untuk meneruskan tadbir urus yang baik, Muhyiddin berkata kerajaan negeri PN juga akan meneruskan pelbagai pendakwaan rasuah di Melaka melibatkan perlombongan pasir dan sumber asli lain.

PN mahu siasat rasuah

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula menyifatkan PH sebagai 'parti pelampau'.

Dia juga menegaskan bahawa rusuhan 13 Mei berlaku di Kuala Lumpur tetapi tidak di pantai timur Malaysia di mana terdapat majoriti besar orang Melayu.

BN tidak mempunyai ceramah besar pada saat akhir tetapi mengatur beberapa acara maya yang berasingan, salah satunya termasuk wawancara Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mengetuai operasi pilihan raya untuk BN pada PRN Melaka.

Mohamad menggembar-gemburkan banyak pelaburan yang BN mampu bawa apabila ia menguasai majoriti parlimen dan DUN selama beberapa dekad.

Katanya di sebalik sejarah panjang gabungan itu, ia juga menerima perubahan, meletakkan kebanyakan muka baru dalam pilihan raya Melaka.

"(Calon BN) muka baru ini minta Umno berubah, transofmrasi dalam parti, mereka nak lihat Umno mengikut zaman semasa yang mana kita mahu tunjuk muka baru.

"Kini kita buat, kita ambil risiko tinggi kerana nak beritahu rakyat bahawa Umno berubah. Bukan parti dinosaur tak nak berubah," katanya.