Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Zahid jangka landskap politik baru menjelma di Melaka

PRN MELAKA | Hanya beberapa jam sebelum kempen berakhir dan pusat pengundian bakal dibuka pagi esok, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan landskap politik yang baru akan menjelma di bumi Hang Tuah itu.

Malah Ahmad Zahid menyatakan keyakinannya ia juga akan memberi kesan kepada suasana politik di Malaysia secara keseluruhan.

Bercakap kepada media di Ledu, Ahmad Zahid berkata pada dasarnya semua kemungkinan ada dalam pertimbangan Umno dan ia menjadi pilihan buat parti itu.

Ditanya mengenai ada keperluan untuk Umno-BN mengadakan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan campuran di Melaka, ahli parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, ia bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi.

"Namun saya yakin satu landskap politik yang baru akan berlaku di negeri Melaka sebagai satu cerminan untuk politik di Malaysia nanti," katanya.

Turut hadir calon BN untuk Lendu Sulaiman Md Ali. Dia juga merupakan calon ketua menteri yang dinamakan oleh BN jika gabungan itu mendapat kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

Pengundi di Melaka akan mula memilih kerajaan baru apabila pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi esok. Berdasarkan keadaan semasa, pelbagai pihak meramalkan persaingan sengit di antara parti yang bertanding.

Sulaiman tetap calon KM

Di sebalik sengitnya persaingan itu, beberapa pihak menjangkakan tiada mana-mana gabungan mampu mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri secara bersendirian.

Selepas PRU ke-14 lalu Melaka ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) namun selepas gabungan yang mendapat mandat rakyat itu dijatuhkan, Umno-BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri terbabit.

Bagaimanapun ia tidak bertahan selepas empat Adun kerajaan menarik balik sokongan mereka kepada Sulaiman, dan ia membawa kepada terbubarnya DUN Melaka.

PN - yang diwakili Bersatu, PAS dan Gerakan - meletakkan calonnya di semua 28 kerusi DUN, sama seperti BN dan PH.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang bakal dimenangi BN esok, Ahmad Zahid berkata dia tidak dapat menyatakan hal itu namun yakin mereka mampu membentuk kerajaan negeri tanpa perlu ada gabungan dengan parti lain.

"Insya-Allah dengan sokongan pengundi-pengundi di Melaka, trend itu memihak kepada BN," katanya.

Malah tambah Ahmad Zahid, sekarang adalah masa untuk pengundi memihak kepada gabungan berkenaan bagi mewujudkan kestabilan

Sementara itu bekas timbalan perdana menteri itu sekali lagi menegaskan BN tetap mencalonkan Sulaiman sebagai ketua menteri jika berjaya membentuk kerajaan selepas ini.

Ditanya mengenai kemungkinan pilihan itu akan menimbulkan masalah kerana Sulaiman bukan ketua di mana-mana bahagian Umno, Ahmad Zahid berkata: "Itu tugas saya yang menentukannya."