Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Hartanah RM100 juta': Najib, Zafrul bercanggah bila permohonan dibuat

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Najib Razak memberikan penjelasan bercanggah berkenaan bila bekas perdana menteri itu membuat permohonan untuk tanah dan rumah yang didakwa bernilai RM100 juta.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad Semalam, ketika Tengku Zafrul menggulung perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat.

Mahathir meminta penjelasan berkenaan sebab hartanah itu tidak disentuh dalam Rang Undang-Undang Perbekalan 2022.

Tengku Zafrul menjelaskan ini kerana permohonan dibuat selepas Belanjawan 2022 dibentangkan, iaitu pada 29 Oktober lalu.

Susulan itu, Najib dalam satu hantaran di Facebook mendakwa dia membuat permohonan pada 2018, selepas pilihan raya umum yang berlangsung pada 9 Mei.

Najib juga memuat naik gambar satu dokumen yang antara lain menyatakan tentang penawaran "secara percuma sebuah rumah kerajaan yang sesuai dengan status bekas perdana menteri Malaysia".

Dia juga mendakwa isu itu dibangkitkan sekarang untuk menjejaskan reputasi BN menjelang PRN Melaka esok.

Menurut Mahathir, Najib sudah disabitkan bersalah di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda lebih RM200 juta.

"Inikah jasa yang kerajaan yang ada sekarang ini nak balas budi?" soal Mahathir, yang kemudian mencadangkan hartanah yang patut dihadiahkan kerajaan kepada Najib patut menyerupai penjara.

Ditekan oleh ahli parlimen pembangkang lain Zafrul kemudian beberapa kali menyatakan yang kabinet telah membincangkan permohonan Najib tetapi masih menunggu keputusan jemaah menteri untuk dimuktamadkan.

"Permohonan ini selepas belanjawan dibentangkan dan dengan itu tidak terdapat dalam sebahagian dalam anggaran perbelanjaan 2022.

"Perkara ini bakal dibawa sebagai rang undang-undang (perbekalan) tambahan," kata Zafrul.

Ia mengundang rasa tidak puas hati pihak pembangkang yang menggesa justifikasi diberikan berhubung mengapa kabinet memberi pertimbangan terhadap permohonan Najib.

Zafrul beberapa kali meminta ahli parlimen bertanyakan perkara itu kepada Jabatan Perdana Menteri memandangkan perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.

Pada Julai tahun lalu, Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda sebanyak RM210 juta. Dia kini dalam proses rayuan terhadap keputusan itu.

Najib juga sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion dan tuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB.