Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis: Lelaki tipu buat pratempahan PS5 bergerak sendiri sejak 2 tahun lalu

Lelaki yang ditahan kerana memperdaya hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PlayStation 5 (PS5) sehingga kerugian kira-kira RM500,000 didapati bergerak sendirian selain turut menggunakan akaun ibunya untuk melakukan urus niaga pratempahan yang dijalankan secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang ACP Mohd Asmadi Yusoff berkata siasatan mendapati lelaki berumur 23 tahun yang ditahan pada 13 Nov lepas di Pulau Pinang itu dipercayai menjalankan perniagaan itu sendirian sejak dua tahun lepas.

"Pasangan anak-beranak itu memang menjalankan perniagaan dalam talian namun berdasarkan siasatan awal, ibunya tidak mengetahui berhubung penipuan pratempahan PS5 tersebut.

"Siasatan awal juga mendapati lelaki itu yang turut mengambil pratempahan konsol permainan PS3 dan PS4 mempromosikan jualannya menerusi Facebook dan Instagram ‘Gila Gaming 66’," katanya kepada pemberita selepas Kempen Pencegahan Jenayah Komersial di George Town, Pulau Pinang hari ini.

Mohd Asmadi berkata lelaki itu dipercayai memperdaya individu dengan membina reputasi sebagai penjual dipercayai atau ‘trusted seller’ sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.

“Ada dalam kalangan pelanggan yang sudah mendapat tempahan PS5 itu dan suspek menjadikan mereka sebagai testimoni dan promosi dalam kumpulan media sosial berkenaan sehingga orang lain turut percaya dengan urusan jual beli itu,” katanya.

Bagi menambah keyakinan pelanggan, Mohd Asmadi berkata suspek turut memiliki syarikat didaftarkan atas namanya dan semakan terhadap nombor daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati sijil daftar perniagaan itu dimiliki oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dengan alamat daftar di Pulau Pinang.

Mohd Asmadi berkata setakat ini, suspek didapati terlibat dalam lapan kes penipuan itu di Pulau Pinang dengan anggaran kerugian RM28,000 dan direman bagi membantu siasatan kes sama di Kedah pada Rabu lepas.

Dia berkata secara keseluruhan, polis telah membuka 42 kertas siasatan berhubung kes penipuan melibatkan suspek di seluruh negara menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang menjadi mangsa suspek agar tampil membuat laporan polis.

Dalam perkembangan lain, Mohd Asmadi berkata kes-kes penipuan melibatkan modus operandi jenayah siber di Pulau Pinang meningkat 28.2 peratus bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini iaitu membabitkan kerugian RM79 juta berbanding RM54.1 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

“Statistik menunjukkan peningkatan kes secara mendadak dengan 2,494 kes hingga Oktober 2021 berbanding 2,095 kes bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

-Bernama