2 bekas MP PKR bakal tubuh parti baru tanpa Azmin, Zuraida
Ahli parlimen bebas Steven Choong (kiri) dan Larry Sng (kanan) dalam usaha menubuhkan sebuah parti politik baru yang dinamakan Parti Bangsa Malaysia.
Menyasarkan PRU15, Choong memberitahu Malaysiakini yang ia merupakan parti pelbagai kaum.
"Penekanan adalah berkenaan wanita dan golongan muda, di mana kami akan memberikan mereka peranan utama dalam semua perkara," katanya yang merupakan bekas pemimpin PKR.
Ahli parlimen Tebrau itu berkata ia merupakan inisiatif bersama-sama Sng - ahli parlimen Julau dan juga bekas pemimpin PKR. Bagaimanapun ia tidak melibatkan bekas pemimpin PKR iaitu Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.
"Mereka tidak terlibat...
"Ini diusahakan kami berdua. Pastinya kami mengundang sesiapa sahaja yang berminat atau memiliki ideologi sama dengan kami.
"Tetapi kami tidak akan pergi berjumpa dan mengajak orang," katanya lagi.
Perkembangan ini di tengah spekulasi Azmin dan Zuraida - kedua-duanya menteri kabinet dan ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu - mungkin menubuhkan sebuah parti politik baru.
Ketika ditanya media sebelum ini, Zuraida menyifatkannya sebagai "khabar angin" tetapi tidak sepenuhnya menafikan perkara itu.
PKR memecat Azmin dan Zuraida pada Februari 2020 susulan peranan mereka dalam Langkah Sheraton. Sembilan lagi ahli parlimen daripada parti itu bertindak keluar untuk bersama-sama menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Choong dan Sng pula keluar PKR pada Februari tahun ini dan menjadi ahli parlimen bebas yang menyokong PN.
Halangan ROS
Meskipun Choong berharap dapat melancarkan Parti Bangsa Malaysia pada bulan depan, terdapat satu halangan iaitu kelulusan daripada Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS).
Sejak menghantar permohonan pendaftaran "empat atau lima bulan lalu", mereka belum memuktamadkan nama parti dan perlembagaannya.
Menurut Choong, perancangan awal mereka untuk menggunakan nama "Parti Negara Malaysia" ditolak.
Kini, mereka terpaksa berdepan dengan bantahan yang dibuat Parti Ikatan Bangsa Malaysia atas faktor nama yang hampir serupa.
Choong berkata, parti baru itu tidak akan menyertai PRN Sarawak bulan ini, walaupun dengan penglibatan Sng yang telah lama bergiat dalam politik di negeri itu.
"Kami pastinya ingin sertai PRU15. Apa-apa sebelum itu, kami tak fikir dapat menyertainya.
"Tetapi harapnya (kami akan bersedia) untuk PRU15," katanya lagi.
Sng pula tidak memberi penjelasan lanjut berkenaan parti baru ini.
"Pengumuman akan dibuat dalam beberapa minggu akan datang," katanya ringkas ketika dihubungi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai