Keluarga Nagaenthran mahu heret AG Singapura ke mahkamah
Keluarga banduan yang dijatuhi hukuman mati di Singapura, Nagaenthran K Dharmalingam berhasrat memfailkan saman terhadap Peguam Negara republik itu, Lucien Wong
Ia berhubung dakwaan sistem keadilan jenayah di negara itu melakukan "kecuaian" terhadap rakyat Malaysia itu.
Ketika dihubungi petang ini, peguam keluarga di Singapura, M Ravi berkata saman itu akan difailkan pada minggu depan.
“Saya dapat arahan (dari) keluarga untuk menyaman Peguam Negara (Wong) atas kecuaian dan pengabaian yang disengajakan.
“Selepas memaklumkan mereka (mengenai) kesihatan mental Nagaenthran, mereka sepatutnya berhenti dan kata 'ok, saya akan minta seseorang untuk menyemak'.
"(Ada} pengabaian yang disengajakan terhadap nyawa manusia. Kami akan saman, Nagaentran dan keluarga akan menuntut ganti rugi juga,” katanya.
Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2011 kerana mengedar 42.72g diamorphine, sejenis bahan untuk membuat heroin ke Singapura.
Peguam berhujah Nagaenthran dinafikan proses wajar kerana memiliki ketidakupayaan intelektual ringan memandangkan IQnya hanya 69, lebih rendah daripada purata.
Kerajaan Singapura bagaimanapun berpendapat sebaliknya.
Peguamnya juga memaklumkan keadaan kesihatan mentalnya menurun dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Ravi memberitahu Malaysiakini bahawa dia mendapatkan arahan daripada keluarga kerana mendapati Nagaenthran tidak mampu "memahami" situasi semasa.
Lelaki berusia 33 tahun itu dijadualkan dihukum gantung pada 10 Nov tetapi hukuman itu ditangguhkan pada 8 Nov selepas Ravi memfailkan cabaran perlembagaan.
Nagaentran kemudian disahkan positif Covid-19, menyebabkan permohonan penagguhan itu dilanjutkan sehingga selepas dia pulih dan selepas mahkamah rayuan mendengar kesnya.
Dia kini menerima rawatan dan dikuarantin di Penjara Changi .
Menghina mahkamah?
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara Singapura (AGC) menuntut Ravi memadamkan dua hantaran Facebook yang dikatakan sebagai "menghina mahkamah".
Salah satu hantaran berhubung rakaman video siaran langsung di Facebook pada 5 Nov di mana Ravi telah mengulas mengenai kes Nagaenthran.
Satu lagi hantaran ialah catatan bertulis mengenai kes undang-undang yang berasingan.
AGC Singapura menuntut dia memadamkan hantaran itu, membuat permohonan maaf secara bertulis dan menyiarkan permohonan maaf itu di akaun Facebooknya pada jam 5 petang pada 22 Nov.
Surat tuntutan bertarikh 17 Nov, yang dilihat Malaysiakini, menyatakan bahawa tindakan ini dilakukan "tanpa prejudis kepada remedi undang-undang lain" yang mungkin diambil terhadapnya.
Peguam dakwa ditekan
Mengulas perkara itu, Ravi menafikan membuat komen menghina mahkamah dalam video berkenaan dan tidak akan menurunkan hantarannya.
Dia menyifatkan surat AGC Singapura itu sebagai percubaan untuk menekan dirinya dan agar dia menarik diri daripada mewakili Nagaentran.
"Kebimbangan saya adalah kerana tindak balas antarabangsa, mereka sebenarnya mahu menekan saya supaya saya menarik diri daripada kes itu ," katanya.
Ravi berkata dia tidak akan mematuhi tuntutan AGC Singapura itu.
Pelaksanaan hukuman mati dan keadaan mental Nagaenthran mencetuskan bantahan daripada kumpulan anti-hukuman mati, hak asasi manusia dan pengamal undang-undang di Malaysia, Singapura dan antarabangsa.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut merayu secara peribadi agar Nagaenthran dilepaskan dari hukuman gantung, begitu juga pakar PBB dan Kesatuan Eropah.
Kes itu telah mendapat perhatian media antarabangsa seperti Vice, CNN, The Washington Post, The Sydney Morning Herald, Al Jazeera dan Associated Press.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai