Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Imigresen beri amaran usir 'karen' ingkar SOP

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) “menasihatkan” warga asing untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan memberi amaran mereka boleh diusir jika gagal berbuat demikian.

Ini selepas tular di media sosial baru-baru ini tentang tiga wanita warga asing yang melanggar SOP dengan tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, ada dalam kalangan warga asing melanggar SOP yang sengaja mencabar pihak berkuasa supaya mengambil tindakan ke atas mereka.

“Sehubungan dengan itu, JIM menasihatkan supaya semua warganegara asing mematuhi arahan dan peraturan semasa agensi-agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk membatalkan pas dan sebarang kemudahan Imigresen yang telah diberikan.

“Mereka juga akan diusir pulang ke negara asal dan disenarai hitamkan dari memasuki negara ini semula, sepertimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 8 dan Seksyen 9 Akta Imigresen 1959/63,” katanya lagi.

Khairul Dzaimee berkata warga tempatan yang menjadi penaja atau majikan kepada warganegara asing harus lebih bertanggungjawab dalam memastikan mereka patuh kepada arahan dan undang-undang negara.

Pada 27 Oktober, satu hantaran di Twitter mengandungi klip video memaparkan seorang wanita warga asing tular, apabila dia meninggikan suara selepas tidak dibenarkan masuk ke kedai Dior di KLCC kerana tidak memakai pelitup muka.

Wanita sama turut tular selepas dirakam cuba memasuki sebuah pusat beli belah di Bangsar, Kuala Lumpur tanpa mengenakan pelitup muka, dan sekali lagi dikesan di sebuah pasar raya di Hartamas, juga tanpa pelitup muka.

Wanita itu, yang memperkenalkan dirinya sebagai Kerry dari Manchester dalam satu video, telah didenda RM3,000 atas insiden di KLCC.

Warganet memberikan julukan ‘Karen’ kepadanya, iaitu istilah yang sering digunakan di media sosial untuk merujuk wanita berkulit putih yang sering menuntut hak-hak tidak munasabah demi kepentingan diri.

Dalam perkembangan baru, polis hari ini memulakan penyiasatan ke atas dua wanita kulit putih yang berjalan di taman KLCC tanpa mengenakan pelitup muka.

Mereka juga dijuluk sebagai “Karens” oleh pengguna media sosial.

Amaran oleh Khairul Dzaimee itu dilihat berbeza dengan tindakan yang diambil terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir tahun lalu.

Rayhan, yang memiliki visa kerja yang sah, menjadi sasaran dan diburu apabila membangkitkan tentang layanan buruk diterima pekerja asing dalam sebuah dokumentari Al-Jazeera.

Kenyataan Rayhan dianggap menghina negara dan membawa kepada pembatalan visanya oleh JIM, sebelum ditahan dan diusir dari negara ini.