Mat Sabu: Sokongan bekas gabenor Melaka beri harapan buat PH
PRN MELAKA | Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan kehadiran bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Khalil Yaakob bersama calon Pakatan Harapan (PH) merupakan suatu yang positif buat gabungan itu.
Mohamad berkata kehadiran Mohd Khalil di kempen PH termasuk di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi hari ini memberi impak yang baik kepada calon PH menjelang hari mengundi Sabtu ini.
Jelasnya, sokongan Mohd Khalil itu secara tidak langsung membuka jalan kepada PH dan Adly Zahari untuk kembali menerajui kerajaan negeri.
"Kesudian Tun Khalil untuk bersama dengan saya dan calon PH, Julasapiyah Kassim, menyantuni para nelayan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi petang ini amat menyentuh perasaan.
"Bagi saya secara peribadi, kehadiran tokoh yang amat dihormati oleh rakyat Melaka ini, merupakan sesuatu yang positif kepada PH.
"Kita harap dengan sokongan Tun, PH akan memenangi PRN Melaka dan saudara Adly kembali menjadi ketua menteri. Insya-Allah," tulis Mohamad dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
PRN Melaka diadakan susulan empat wakil rakyat diketuai bekas ketua menteri Idris Haron menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
PH mempertaruhkan Adly sebagai calon ketua menteri jika PH kembali berkuasa, manakala BN kekal dengan Sulaiman.
Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) belum mengumumkan bakal calon ketua menteri daripada parti itu.
Pengudni Melaka akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan yang baru pada 20 Nov ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai