Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Idris anggap projek M-WEZ langkah ke belakang buat Melaka

PRN MELAKA | Bekas ketua menteri dari Umno, Idris Haron, berpendapat projek pembangunan Zon Ekonomi Persiaran Pantai Melaka (M-WEZ) merupakan langkah mundur buat negeri itu walaupun pada dasarnya dia bersetuju Melaka memerlukan inisiatif ekonomi yang besar.

“Saya telah menyatakan kerisauan saya apabila kerajaan negeri memperkenalkan M-WEZ ini... ia sebenarnya satu langkah ke belakang.

“Mengapa kita katakan ia satu langkah ke belakang? Kerana M-WEZ ini diselubungi dengan government structure (struktur kerajaan). It is the public structure (Ia adalah struktur awam),” katanya ketika diwawancara Malaysiakini di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH) DUN Asahan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Idris yang kini menjadi calon PH di Asahan berkata negeri bersejarah itu tidak memerlukan projek sedemikian kerana sudah mempunyai projek Melaka Gateway yang dilancarkan sewaktu pentadbirannya.

Melaka Gateway merupakan projek merangkumi penambakan laut untuk tujuan komersial, membabitkan tiga pulau serta pembangunan pelabuhan laut dalam serta terminal kapal persiaran.

Bagaimanapun, projek berkenaan - yang diusahakan syarikat swasta, KAJ Development Sdn Bhd selama beberapa tahun - ditamatkan kerajaan negeri dengan alasan ia gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan, iaitu tiga tahun dari tarikh kontrak ditandatangani.

Diluluskan dalam DUN

Membandigkan Melaka Gateway dengan M-WEZ, Idris mendakwa M-WEZ bakal memakan kos yang besar untuk jangka masa panjang terutamanya dari segi kos membayar gaji ketua pegawai eksekutif.

“M-WEZ datang dengan struktur kerajaan yang menyeluruh, kena bayar gaji pegawai sehingga RM300,000 atau RM400,000 sebulan iaitu sekitar RM5 juta setahun.

"Selepas tu tubuhkan satu struktur projek yang besar yang lebih kurang sama dengan (projek) sektor swasta rancang sejak beberapa tahun lalu.

“Jadi, ia merupakan (kerja) yang membazir tenaga, masa, dan sumber. Jadi saya katakan: kenapa nak berpatah balik ke belakang, atau ianya hanya political mileage (kepentingan politik)?” katanya.

Pada Sept lalu, Dewan Undangan Negeri Melaka meluluskan rang undang-undang penubuhan M-WEZ dengan 16 Adun yang menyokong, 11 Adun menolak dan satu tidak hadir.

Idris yang ketika itu merupakan Adun Sungai Udang (BN) antara yang menyokong rang undang-undang itu.

Malaysiakini meneliti perincian projek M-WEZ dan mendapati ia akan melibatkan kerja-kerja penambakan yang luas, meliputi sekitar separuh daripada keseluruhan garis pantai Melaka.

Ia dijangka memberi kesan kepada bukan hanya Pantai Kundor, tetapi juga tujuh lagi kawasan pesisir pantai lain.

Menurut laman web M-WEZ, projek mega itu melibatkan kawasan seluas 10,000 hektar - iaitu dua kali ganda saiz Putrajaya - di sepanjang garis pantai sejauh 33km dan akan dibahagikan kepada lima seksyen.

Bermula dari pantai Sungai Udang, M-WEZ akan menjangkau sepanjang Pantai Kundor hingga Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas, sehinggalah ke bahagian utara Serkam.

Janji untuk semak semula

Manifesto BN yang diumumkan pada 10 Nov lalu menguar-uarkan M-WEZ sebagai pemacu ekonomi utama Melaka dan akan menjana sekitar 10,000 pekerjaan dalam masa lima tahun.

Diminta mengulas mengenai rungutan nelayan di perairan laut Melaka yang berdepan dengan masalah penambakan dan menjejaskan punca rezeki mereka, Idris berkata PH menawarkan kaedah yang boleh diperkenalkan bagi mengatasinya.

Katanya kerajaan boleh membantu agar nelayan terbabit mencari rezeki dengan kelengkapan berteknologi tinggi, sekali gus bakal mengubah landskap kegiatan mereka di sepanjang pantai Melaka.

Dia juga berkata, tindakan yang berani perlu diambil apabila aktiviti tambakan laut dijalankan dengan keterlaluan.

Pengerusi PH Melaka yang juga calon ketua menteri gabungan itu, Adly Zahari, sebelum ini berkata mereka berikrar untuk menyemak semula M-WEZ jika berjaya membentuk kerajaan Melaka yang baru. 

Idris berkata, penambakan laut yang ada sekarang dan tambahan dari M-WEZ kelak akan memberi kesan yang besar kepada nelayan di Melaka.

“Jadi saya fikir perlu ada satu political will (iltizam politik), ketegasan yang bersungguh-sungguh daripada pihak berkuasa untuk sekurang-kurangnya memberitahu kepada rakyat Melaka this thing has to put to stop (ia harus dihentikan),” katanya.