Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selangor siap sedia hadapi peningkatan kes Covid-19

Dengan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kian meningkat, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah membuat persediaan untuk hospital dan kemudahannya menempatkan lebih ramai pesakit Covid-19.

Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha'ari Ngadiman dalam kenyataan hari ini mendedahkan sejumlah statistik yang membimbangkan.

Dia hospital kerajaan di Selangor, kadar penggunaan katil ICU adalah 80 peratus, iaitu 203 katil.

Daripada jumlah itu, 42 peratus (86 katil) adalah bagi kes Covid-19. Baki 58 peratus (117 katil) pula bagi pesakit bukan Covid-19.

Sementara itu, di Hospital Sungai Buloh yang digunakan sepenuhnya untuk merawat kes Covid-19, sebanyak 90 peratus katil ICU - iaitu 54 buah katil - sedang digunakan.

"Mengenai peningkatan kes Covid-19 di ICU Hospital Sungai Buloh, ia adalah disebabkan hospital ini merupakan Hospital Full Covid-19 dan menjadi hospital rujukan Covid-19 bagi semua hospital bukan sahaja di Selangor tetapi juga di Lembah Klang.

"Oleh itu, ICU Hospital Sungai Buloh juga menerima kes-kes Covid-19 dari hospital lain agar ICU hospital lain boleh diguna pakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan Covid-19," katanya.

Katil di wad Covid-19 juga hampir penuh.

Menurut Sha'ari, sebanyak 92 peratus daripada 1,286 katil untuk kes tidak kritikal sedang menempatkan pesakit.

Penjelasan ini susulan peringatan seorang doktor yang bertugas di Hospital Sungai Buloh berkenaan gelombang Covid-19 pada Disember ini.

Dalam ciapan yang tular beberapa hari lalu, dia berkata wad biasa dan ICU di hospital itu kini dipenuhi pesakit Kategori 4 dan 5.

Pada minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang awam berkenaan "tanda awal" kemungkinan berlaku peningkatan kes.

Hari ini, Sha'ari membangkitkan nilai kebolehjangkitan, atau R-naught, di Selangor telah meningkat kepada 1.05 setakat semalam.

Nilai lebih daripada 1.00 menunjukkan penularan yang meningkat.

"Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, jumlah kes baru harian di Selangor adalah sebanyak 1,300 hingga 1,500 kes, di mana 1.5 sehingga 2 peratus adalah kes kategori 3, 4 dan 5," katanya.

Kategori 3 merujuk kepada pesakit yang memiliki gejala serius seperti jangkitan paru-paru.

Kategori 4 pula merujuk kepada pesakit yang mempunyai jangkitan tersebut dan memerlukan bantuan oksigen, manakala Kategori 5 merujuk kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ dalaman dan memerlukan alat bantu pernafasan.

"Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi situasi peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke Hospital Sungai Buloh, Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) telah ditambah baik bagi menampung kes-kes Covid-19 di samping membantu mengurangkan beban Hospital Sungai Buloh.

"Selain itu, Hospital Sungai Buloh disokong juga oleh hospital-hospital lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes Covid-19 ke hospital atau ICU," katanya lagi.