Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Idris sedia berdebat isu perlombongan pasir di Asahan

PRN MELAKA | Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Asahan, Idris Haron berkata dia sedia berdebat dengan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kelulusan menjalankan aktiviti perlombongan pasir di kawasan di bawah DUN Asahan, walaupun sebarang aktiviti perlombongan pasir di situ telah dibatalkan sebelum ini.

Tanpa menyebut mana-mana nama, bekas ketua menteri Melaka itu berkata individu tersebut merupakan salah seorang calon yang bertanding di pilihan raya negeri Melaka kali ini.

Bagaimanapun, Idris berkata dia akan melakukannya dengan syarat agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Anytime (bila-bila masa). Tapi saya ada syarat. Saya minta satu kebenaran di mana pihak kerajaan negeri sama ada SUK (setiausaha kerajaan negeri) ke, mengizinkan saya untuk membuka cerita-cerita yang berlaku dalam kerajaan tanpa sebarang tuduhan selepas ini.

“Jadi kalau saya nak berdebat dan saya pula diikat dengan akta-akta sebagainya, (seperti akta) SPRM, Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini di bilik gerakan utama PH DUN Asahan baru-baru ini.

Sebelum itu, Idris diminta menjelaskan berhubung dakwaan penyelewengan projek berkaitan royalti pasir di negeri itu.

Dia memberi contoh salah satu kawasan di bawah DUN Asahan iaitu di Nyalas, di mana terdapat kegiatan melombong pasir.

“Seingat saya syarikat itu semua ataupun kegiatan perlombongan itu semua telah dibatalkan satu ketika dahulu telah dihentikan, tiba-tiba lulus balik,” katanya sambil mendedahkan salah satu nama syarikat tersebut.

Menurutnya, kegiatan perlombongan pasir itu sebelum ini telah dihentikan kerana dikenalpasti tidak mendapat kelulusan sebenar daripada pihak berwajib termasuk Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) yang tidak dilakukan secara tuntas.

Pada 8 Oktober, SPRM Melaka telah bertemu dengan Idris bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku pembolotan projek ekonomi dan penipuan terhadap kerajaan persekutuan berkaitan royalti pasir di Melaka.

Mengulas lanjut perkara itu, Idris yang juga merupakan bekas ketua menteri Melaka sewaktu pentadbiran BN berkata selain dipanggil oleh pihak SPRM untuk memberikan maklumat, dia juga telah diberi amaran oleh pihak kerajaan supaya mematuhi OSA.

“Tapi saya masih boleh lagi mengatakan, apa juga yang dikisahkan tentang pembolotan ekonomi pasir dan sebagainya itu, itu sebenarnya telah berada di public domain,” katanya.

“Saya pasti kalau ada siasatan secara terperinci, akan ada karakter-karakter ‘little Napolean’ ini di dalam kerajaan negeri yang membawa kepada imej-imej yang sungguh buruk.

“Itu tak termasuk beberapa perkara lain yang saya kira perlu kita ambil berat,” katanya.

Idris sebelum ini menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri bersama tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang lain - Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Pada PRN Melaka kali ini, Idris tidak mempertahankan kerusinya di Sungai Udang, sebaliknya bertanding di Asahan di bawah tiket PH (PKR). Manakala Nor Azman Hassan pula mempertahankan kerusinya di Pantai Kundor tetapi di bawah tiket PH (Amanah).

Idris yang berdepan pertandingan enam penjuru di Asahan akan menentang pencabarnya iaitu Dhanesh Basil dari PN, Fairul Nizam Roslan (BN), Azhar Abd Hamid (bebas), Mohd Nor Salleh (bebas) dan Akhir Ayob (bebas).