Calon KM dari PN mungkin wanita, tapi masih dibincangkan
PRN MELAKA | Perikatan Nasional (PN) membayangkan mereka mungkin menamakan seorang wanita sebagai calon ketua menteri bagi gabungan tersebut sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas pengundian pada 20 Nov ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin menyatakan belum ada ketetapan dibuat mengenainya dan perbincangan akan dibuat sebelum keputusan muktamad diambil.
Dipetik Bernama Hamzah berkata nama calon ketua menteri PN itu akan diumum esok.
“Jadi kalau pun beliau (calon ketua menteri) datang daripada seorang wanita, pernah satu ketika Melaka membawa sebuah cerita Tun Teja, di mana Tun Teja berperanan membangunkan negeri Melaka, jadi apa salahnya kalau kali ini kita meletakkan seorang wanita.
“Kita juga ada beberapa doktor, profesional, jurutera - ini kita akan bincangkan dan akan kita umumkan insya-Allah pada esok hari,” katanya di Alor Gajah hari ini.
PN merupakan parti gabungan yang belum menamakan calon ketua menteri mereka setakat ini, ketika kempen hanya berbaki kira-kira dua hari saja lagi.
BN sudah menamakan calon mereka iaitu Sulaiman Md Ali, manakala Pakatan Harapan memilih Adly Zahari. Kedua-dua mereka adalah bekas ketua menteri sebelum dijatuhkan oleh gerakan Adun yang berpaling tadah.
Untuk rekod daripada 28 kerusi yang ada PN menurunkan enam calon wanita iaitu Mas Ermieyati Samsudin di Tanjung Bidara, Azalina Abdul Rahman (Rim), Dr Nordina Abdul Latif (Ayer Limau), Aziah Mohd Saad (Kuala Linggi), Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir) dan Fong Khai Ling (Kota Laksamana).
Tiga daripada mereka adalah wakil Bersatu termasuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini menjadi ahli parlimen Masjid Tanah serta timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala dua dari Gerakan dan seorang PAS.
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 12 Nov sudah menyatakan bahawa calon ketua menteri mereka adalah dari Bersatu.
Menurut Hamzah isu calon PN akan dibincangkan bersama parti komponen dalam gabungan berkenaan agar individu yang dipilih dapat diterima masyarakat termasuk pengundi atas pagar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai