MMA: Kerajaan kurang tekad politik selesai isu doktor kontrak
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempersoalkan Putrajaya yang disifatkan kurang tekad politik untuk menyelesaikan masalah lama yang membelenggu doktor pelatih kontrak.
Dalam satu kenyataan tegas hari ini, presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata MMA telah pun menjelaskan isu itu kepada kerajaan "berbulan-bulan lalu".
Bagaimanapun, dia menyorot kekurangan penyelesaian konkrit dalam Belanjawan 2022.
“Adalah mengecewakan walaupun selepas pertemuan dengan Kementerian Kewangan yang dimulakan oleh Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) sendiri beberapa bulan lalu mengenai isu doktor kontrak, tiada apa-apa perkara yang signifikan yang dicerminkan dalam Belanjawan 2022 untuk menangani isu terbesar dan paling mendesak yang menjejaskan sistem penjagaan kesihatan awam kita.
“Dalam mesyuarat yang diadakan secara maya itu, MMA telah memberikan sejarah dan menjelaskan secara terperinci situasi doktor kontrak di negara ini manakala menteri mengambil maklum semua isu.
"Angka-angka juga disediakan untuk menteri merancang belanjawan tetapi akhirnya, ia nampaknya kembali kepada asal," katanya.
Selain Tengku Zafrul, Koh berkata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinetnya yang lain juga menyedari isu itu.
“Separuh kabinet kini terdiri daripada menteri yang sama. Beberapa menteri sekarang juga pernah memegang jawatan kabinet beberapa tahun lalu, tetapi tiada apa yang dilakukan.
“Ia jelas menunjukkan tiada tekad politik untuk menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan ini kerana dasar yang lemah pada masa lalu. Doktor kontrak adalah mangsa dasar buruk masa lalu,” katanya.
Belanjawan 2022 mencadangkan pelanjutan kontrak untuk 10,000 doktor pelatih, doktor gigi dan ahli farmasi selama dua tahun tambahan. Ia juga memperuntukkan RM100 juta untuk menaja 3,000 pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk mengikuti kursus kepakaran.
Inisiatif ini ditetapkan untuk memanfaatkan sebahagian kecil daripada 35,000 atau lebih pekerja penjagaan kesihatan kontrak di seluruh negara - di mana kira-kira 23,000 adalah pegawai perubatan, 5,000 adalah pegawai pergigian dan 7,000 adalah ahli farmasi.
Daripada lanjutan kontrak, apa yang kumpulan pendesak seperti Hartal Doktor Kontrak (HDK) mahukan adalah lebih banyak jawatan tetap dan peluang pengkhususan.
HDK, yang menganjurkan mogok doktor kontrak di seluruh negara pada bulan Julai, kini menggesa mogok kali kedua.
Koh mengulangi cadangan penyelesaian MMA dalam kenyataannya hari ini.
Kerajaan boleh memberikan lebih jaminan pekerjaan kepada doktor pelatih dengan menawarkan kontrak 10 tahun kepada mereka, yang membolehkan mereka mengikuti pengkhususan semasa bekerja.
Ia juga boleh menjadikan semua doktor kontrak layak untuk Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) - biasiswa kerajaan untuk kursus pascasiswazah.
Doktor kontrak sepatutnya layak untuk memohon program Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) - yang membenarkan cuti belajar bergaji.
Namun begitu, Koh tetap berharap Kementerian Kesihatan akan menyediakan penyelesaian yang lebih baik dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2022, yang dijadualkan petang ini.
“Memandangkan kementerian akan menjadi antara kementerian yang akan menggulung perbahasan Belanjawan 2022 di Parlimen hari ini, MMA berharap jawapan akan diberikan berhubung banyak isu doktor kontrak,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai