Semahal mana pun harganya, kewartawanan jangan pernah bisu
Memilih untuk menghabiskan cuti Deepavali di rumah berbanding bercuti dalam masa wabak, memberikan kelapangan untuk melayan Netflix. Teratas dalam senarai tontonan ialah siri Narcos: Mexico musim ketiga.
Bagi yang belum terjebak, drama jenayah itu berkisar tentang kartel dadah Mexico, yang dengan bantuan pihak berkuasa dan politikus korup, mengumpul kekayaan besar tetapi mengorbankan banyak nyawa.
Musim terbaru turut menonjolkan aksi berani akhbar La Voz (Suara) di Tijuana, yang merupakan tempat asal Pertubuhan Arellano-Félix, atau lebih dikenali sebagai kartel Tijuana.
Meskipun La Voz hanyalah akhbar rekaan, ia dikatakan diinspirasikan daripada majalah Tijuana sebenar, Zeta, yang diasaskan pada 1980.
Majalah itu dikenali dengan pendedahannya terhadap korupsi kerajaan pusat dan tempatan, selain jenayah terancang dan penyeludupan dadah, menyebabkan kakitangannya menerima banyak ugutan bunuh dan serangan.
Dua daripada pengasasnya, Hector Felix Miranda dan Francisco Ortiz Franco, dibunuh. Hector dibunuh pegawai peribadi seorang ahli politik tempatan pada 1988, Francisco pula dibunuh penembak bertopeng, di hadapan anak-anaknya sendiri pada 2004.
Di Kuala Lumpur, kira-kira 14,000km jauhnya dari Tijuana, pengasas Malaysiakini Steven Gan dan Premesh Chandran masih hidup dan masih cergas.
Pun begitu, sebagai saluran berita bebas pertama Malaysia, laluan ditempuh Malaysiakini tidaklah lancar dan mudah.
Meskipun Gan dan Premesh tidak perlu mengelak peluru seperti rakan-rakan di Mexico atau di tempat lain, mereka tetap berdepan pelbagai cabaran dalam misi untuk meleraikan cengkaman kuat kerajaan terhadap maklumat, ketika Malaysiakini ditubuhkan pada 1999 pada kemuncak era Reformasi.
Pentadbiran perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad melancarkan serangan propaganda kepada Malaysiakini, dengan mengaitkannya dengan hartawan George Soros.
Pada 2001, agensi berita kebangsaan Bernama memetik Mahathir sebagai berkata: “...puak-puak ini (Malaysiakini) benar-benar berkelakuan seperti pengkhianat, meminta orang luar untuk merosakkan negara sendiri.”
“Rakyat yang sayangkan Malaysia tidak akan menyokong Malaysiakini,” tambahnya.
Apabila serangan itu memburuk, Gan dan Premesh memanggil kakitangan bermesyuarat, bagi membincangkan tentang pelan luar jangka sekiranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan ke atas mereka.
Hal-hal dibincangkan termasuklah siapa yang harus mengambil alih teraju dalam masa ketiadaan mereka, dan di mana tempat untuk beroperasi sekiranya pejabat diserbu. Ia turut melibatkan butiran seperti melantik penandatangan sah tambahan untuk menandatangani cek syarikat.
Tujuannya ringkas, Malaysiakini mesti terus beroperasi.
Pemantau, bukan belaan
Rasa tidak senang Mahathir itu boleh difahami. Pada masa itu, ahli-ahli politik Malaysia dan mereka yang berkuasa tidak biasa diasak atau menyaksikan salah laku mereka tersiar. Ketika itu merupakan zaman ketika kenyataan media pemimpin pembangkang hanya akan dibakulsampahkan, manakala suara penentang akhirnya meringkuk di dalam penjara.
Namun, Malaysiakini adalah makhluk yang sama sekali berbeza. Jika media lain pasti patuh dengan hanya satu panggilan telefon sahaja, portal berita yang baru bertatih ini memilih enggan patuh untuk duduk, berjabat tangan atau berpura-pura mati apabila diarahkan sedemikian.
Malaysiakini melaungkan prinsip kebebasan media yang cukup asing. Oleh itu, pengkritiknya - yang sering terkeliru antara patriotisme dengan keakuran terhadap pemerintah - percaya ia pasti mempunyai niat jahat.
Ancaman penangkapan dan penutupan kembali timbul ketika skandal 1MDB didedahkan, dan bekas perdana menteri Najib Razak - yang pernah menyaman Malaysiakini pada 2014 kerana komen pembaca dan pasti menyesali tindakannya memansuhkan ISA - menghentam pengkritik habis-habisan.
Sekali lagi, mesyuarat diadakan bagi membincangkan apa tindakan selanjutnya jika tindakan keras dikenakan ke atas Malaysiakini.
Selepas pilihan raya umum 2018, yang menyaksikan Mahathir menerajui Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya, Malaysiakini yang sering dilabelkan sebagai lidah pembangkang, masih tetap teguh atas perjuangannya dan terus memastikan kebertanggungjawaban oleh kerajaan baru yang berhayat singkat itu.
Dalam dua dekad kebelakangan ini, ratusan laporan polis dibuat ke atas Malaysiakini, tidak terhitung kertas siasatan yang dibuka, dan berkali-kali keterangan dirakamkan.
Selain daripada itu, portal ini menerima banyak juga tindakan undang-undang.
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengenakan denda RM500,000 kepada Malaysiakini kerana komen pembaca. Pada Mac tahun ini pula, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah RM220 juta ke atas Malaysiakini.
Biarpun apa juga cabaran, ancaman dan tindakan undang-undang, Malaysiakini berikrar untuk terus berkhidmat sebagai pengawas bangsa, menjaganya daripada salah laku dan korupsi. Sentiasa menjadi watchdog (pemantau/pengawas), bukan lapdog (belaan).
Namun, tanpa pembiaya kaya yang hadir dengan agenda perniagaan dan politik masing-masing yang boleh menjejaskan integriti kepengarangan, Malaysiakini, yang menyambut ulang tahun ke-22, perlukan sokongan anda untuk terus menjadi ‘suara’ anda, La Voz.
Bersempena ulang tahun ke-22 kami, nikmati penjimatan 22 peratus apabila anda melanggan Malaysiakini, atau hadiahkan langganan kepada seseorang. Sokonglah media bebas.
RK ANAND ialah pengarang eksekutif Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai