Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri: Kerajaan tiada maklumat lokasi Jho Low

PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low setakat hari ini.

Menterinya Hamzah Zainudin berkata Singapura dan Amerika Syarikat, yang turut memfailkan kes mahkamah terhadap ahli perniagaan itu, juga gagal mengesan lokasinya.

“Kementerian melalui Polis Diraja Malaysia komited untuk mengesan keberadaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk dibawa balik bagi menghadapi siasatan.

“Dalam hal ini, saya ingin memaklumkan bahawa selain Malaysia, Singapura juga telah memfailkan pertuduhan terhadap Low Taek Jho pada 2016 dan telah memperoleh Notis Merah daripada Interpol (Polis Antarabangsa) pada tahun yang sama.

“Amerika Syarikat juga memfailkan pertuduhan di mahkamah di New York pada 2018 dan waran tangkap dikeluarkan ke atas Jho Low pada tahun yang sama,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat diterima oleh Malaysia atau Singapura mahu pun Amerika Syarikat daripada mana-mana ahli Interpol yang dianggotai 194 negara berhubung keberadaan Jho Low.

Dia berkata selain itu, kenyataan bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada 2019 dan 2020 bahawa Jho Low dipercayai bersembunyi di China serta dilindungi oleh Beijing telah dinafikan Kedutaan Besar China pada tahun lepas.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawanya pulang.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

-Bernama