Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kenapa PAS tak tutup Genting Highlands juga - Ganabatirau

Seorang lagi pemimpin DAP menyelar langkah PAS mengharamkan judi nombor ekor dan mengehadkan jualan arak di Kedah.

V Ganabatirau yang juga exco kerajaan Selangor menyifatkan langkah itu sebagai cuba membawa masuk ideologi Taliban ke Malaysia.

Malah, katanya, sejak kebelakangan ini PAS suka campur tangan dalam hak orang bukan Islam.

"PAS sentiasa kata bahawa parti itu untuk semua atau PAS for all. Tapi, benarkah parti itu menjaga sensitiviti agama lain? Adakah mereka menghormati bangsa lain.

"Sekiranya, PAS benar-benar berdiri teguh dengan pegangan bahawa aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan, maka mereka sepatutnya menutup kasino di Genting Highlands serta syarikat-syarikat bir yang beroperasi di negara ini.

"Mereka adalah kerajaan pusat. Mereka boleh tutup kasino dan syarikat bir. Kenapa hanya sasar negeri Kedah sahaja?" katanya kepada Malaysiakini.

Dia mengulas keputusan kerajaan Kedah mengharamkan kedai nombor ekor dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Menteri besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan, selain masalah hutang.

Kedah juga memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

‘Melayu pun tak setuju’

Sementara itu, Ganabatirau berkata rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, sendiri tidak setuju dengan kemasukan ideologi Taliban ke negara ini.

Katanya, dia bimbang, di masa akan datang, pelbagai lagi dasar lain diperkenalkan.

"Kalau sikap PAS ini terus dibenarkan, mungkin pada masa akan datang mereka halang kaum lelaki dan wanita duduk bersama di teater, melarang lelaki dan wanita menggunakan perkhidmatan bas yang sama dan mungkin doktor tidak benarkan memberi rawatan kepada pesakit berlainan gender,” katanya.