Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH Sabah gesa ketua menteri jayakan Agenda Reformasi negeri

Pakatan Harapan (PH) Sabah menyeru ketua menteri Hajiji Noor untuk sama-sama memperjuangkan dan menjayakan “Agenda Reformasi Sabah”.

Agenda itu mencakupi autonomi Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tadbir urus menangani Covid-19, pelan pemulihan ekonomi Sabah, reformasi pentadbiran dan politik, reformasi Dewan Undangan negeri (DUN), tadbir urus Orang Asal Sabah dan tadbir urus keselamatan.

Ia juga mencakupi penggubalan Rang Undang-Undang Antilompat Parti, mewujudkan Jabatan Kehakiman Anak Negeri dan Yayasan Tanah Anak Negeri.

Pemimpin pembangkang negeri dilaporkan mengemukakan dokumen agenda reformasi itu kepada Hajiji dan timbalannya, Jeffrey Kitingan secara peribadi semalam.

Menurut Borneo Post Online, mereka yang hadir termasuk Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon; Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu dan Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau.

Bagaimanapun pemimpin politik dari Warisan tidak hadir dalam pertemuan itu.

Bukan MOU

Dalam satu kenyataan selepas itu, PH Sabah berkata dokumen agenda reformasi itu ditetapkan lebih awal daripada bajet negeri, yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 Dis.

"PH Sabah berpendapat bahawa Agenda Refromasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh dan seharusnya menjadi agenda bersama kesemua parti politik dan penggubal undang-undang sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang.

"PH Sabah mengalu-alukan komitmen dan jaminan ketua menteri untuk berbincang dengan parti-parti gabungan dalam kerajaan bagi mendapatkan konsensus untuk sama-sama memperjuang dan menjayakan Agenda Reformasi Sabah ini,” kata mereka.

Mereka turut menegaskan Agenda Refomasi Sabah itu bukan memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan negeri seperti dilaksanakan di peringkat kerajaan persekutuan.

"Tetapi ia syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya terutama menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi Sabah dalam bidang kesihatan, pendiikan, sumber semulajadi dan pengangkutan serta keperluan tadbir urus dalam negeri Sabah berkaiitan imigresen, pendaftaran negara dan buruh," jelasnya.

Kerajaan membentangkan beberapa pindaan perlembagaan berkaitan MA63 di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 3 Nov lalu.

Pada Sept lalu, pemimpin PH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan persekutuan untuk memastikan kestabilan politik selepas negara ini menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun.

MOU itu menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan dengan syarat pembangkang tidak cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa itu, PH Sabah menyuarakan harapan agar semangat dwipartisan sebegini dapat dicontohi di peringkat negeri.

Warisan, bagaimanapun tetap menentang langkah memeterai MOU tersebut.