Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rauf: Penambakan bawa pulangan untuk negeri, laut luas untuk nelayan

PRN MELAKA | Meskipun terdapat projek-projek penambakan laut di perairan Melaka, nelayan masih boleh menjalankan aktiviti perikanan seperti biasa kerana kawasan laut luas dan tidak hanya terhad di kawasan penambakan, kata pengerusi badan perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, isu penambakan laut di negeri bersejarah itu merupakan perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri, yang bertujuan untuk menarik para pelabur di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan.

“Jadi, dengan adanya tambah nilai penambakan laut ini, banyak pelabur yang datang untuk melabur dalam industri perhotelan, dalam bentuk perindustrian dan ia telah memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan negeri.

“Tetapi nelayan boleh lagi meneruskan kehidupan sebagai nelayan kerana laut tu luas, bukan sahaja di dalam kawasan ditambak ini.

“Walaupun ada kesan, tetapi kerajaan negeri akan memberikan perlindungan untuk mereka ini supaya pembangunan itu boleh dimajukan dan pendapatan mereka tidak terjejas,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini baru-baru ini.

Rauf yang juga calon DUN BN Tanjung Bidara berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu nelayan yang terjejas dengan projek tambakan, di mana rata-rata daripada mereka lebih bimbang dengan nasib mereka sebagai nelayan di negeri itu berbanding parti politik yang bakal mengambil alih kerajaan baru tidak lama lagi.

“Saya nak menjawab soalan ni supaya kita lebih terbuka. Isu tambak laut ini bukan zaman kita (BN) yang tempoh 19 bulan ni, tambak laut ni dah berlaku sejak 20 tahun terdahulu oleh perancangan yang dibuat oleh kerajaan negeri bagi menjadikan kawasan koridor tambakan ini sebahagian daripada sumber ekonomi negeri untuk tarik pelabur di kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dimajukan,” katanya.

Pada 14 Nov lalu, Malaysiakini melaporkan rungutan nelayan di negeri itu terhadap beberapa projek penambakan laut beberapa tahun kebelakangan ini yang diteruskan tidak mengira parti politik yang memerintah.

Projek-projek itu, kata mereka, telah memusnahkan ekosistem dan persekitaran, mengusir hidupan marin pantai dan menjejaskan kehidupan mereka.

Sulaiman mendedahkan manifesto BN pada Rabu (10 Nov), yang mana dia menguar-uarkan tentang Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) sebagai pemacu ekonomi utama negeri dan akan menjana sekitar 10,000 pekerjaan dalam masa lima tahun.

Malaysiakini meneliti perincian projek berkenaan dan mendapati ia akan melibatkan kerja-kerja penambakan yang luas, meliputi sekitar separuh daripada garis pantai keseluruhan Melaka, memberi kesan kepada bukan hanya Pantai Kundor, tetapi juga tujuh lagi kawasan pesisir pantai yang lain.

Menurut laman web M-WEZ, projek mega itu melibatkan 10,000 hektar, iaitu dua kali ganda saiz Putrajaya di sepanjang garis pantai sejauh 33km dan akan dibahagikan kepada lima seksyen.

Bermula dari pantai Sungai Udang, M-WEZ akan menjangkau sepanjang Pantai Kundor hingga Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas, sehinggalah ke bahagian utara Serkam.

Tidak perlu pertikai saingan

Dalam pada itu Rauf turut menyentuh mengenai salah seorang pencabarnya di DUN Tanjung Bidara, yang juga rakan separtinya dahulu, Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati dari Bersatu merupakan ahli parlimen Masjid Tanah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Tanjung Bidara merupakan salah satu daripada lima DUN yang berada di bawah parlimen Masjid Tanah, selain DUN Lendu yang ditandingi bekas dan kini calon ketua menteri BN, Sulaiman Md Ali.

Rauf berpendapat walaupun mereka yang beralih arah kini membawa hala tuju sendiri, namun dia meningatkan bahawa mereka dahulu meraih kemenangan daripada undi ahli-ahli parti itu.

“Bagi saya, akhirnya ahli parti boleh memberi penilaian kepada tokoh yang mereka telah pilih dan meninggalkan parti untuk beralih arah.

“Kalau dia datang untuk datang semula meraih sokongan kepada mereka yang pernah memberikan sokongan kepada beliau sewaktu pilihan raya umum yang ke-14 dulu, jadi saya mengatakan tadi, siapa-siapa juga yang menang itu bukanlah milik peribadi, (tetapi) itu adalah milik sebuah parti yang memenangkan mana-mana calon dalam pilihan raya umum,” katanya.

Rauf berkata demikian apabila diminta mengulas sama ada Mas Ermieyati menjadi saingan sengitnya.

DUN Tanjung Bidara menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Rauf, Mas Ermieyati dan Zainal Hassan dari PKR. 

Ia merupakan penampilan sulung Rauf sebagai calon pilihan raya.

“Politik ini the art of 1001 possibilities. Jadi kita tidak perlu mempertikaikan sama ada dia merupakan saingan saya atau tidak.

“Dia juga melihat saya sebagai saingan hebat dia juga.

“Jadi bagi saya memikirkan bagaimana parti saya nak menang. Saya mewakili parti. Saya menawarkan diri kerana saya mempunyai keyakinan parti Barisan Nasional ni masih lagi utuh untuk mengurus tadbir negeri,” katanya.

Pada PRU ke-14 lalu Umno memenangi kerusi berkenaan melalui Md Rawi Mahmud yang memperoleh 58.15 peratus daripada keseluruhan undi. Ia berlaku ketika sentimen pengundi pada 2018 lebih cenderung kepada PH.

Ia merupakan margin kemenangan terbesar buat BN Melaka.