Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Soalan isu judi: Idris kata tiada provokasi, Awang 'tegur' agar berbahasa Melayu

Dua pemimpin PAS yang dikritik atas layanan terhadap seorang wartawan Free Malaysia Today (FMT) yang meminta ulasan mereka berkenaan langkah Kedah untuk tidak memperbaharui lesen judi di negeri itu, memberi jawapan terhadap kritikan yang dibangkitkan.

Bercakap dalam wawancara bersama laman MalaysiaGAzette, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim menegaskan dia hanya "memberi teguran" agar wartawan itu, Minderjeet Kaur, yang pada mulanya ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri idris Ahmad, dalam bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.

"Saya fahami tujuan dia bertanya dalam bahasa Inggeris. Saya tanya dia, 'are you Malaysian?' Saya pun berbahasa Inggeris. Dia cakap 'I am Malaysian'. Jadi saya kata 'boleh tak kita cakap dalam bahasa Melayu?' Itu saja.

"Saya sebagai seorang anak Malaysia dan kita sedang berjuang untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Jadi saya beri teguran. Ketika itu wartawan FMT masih bercakap bahasa Inggeris," katanya.

Awang berkata Minderjeet memintanya untuk menghormati dirinya tetapi dia berkata wartawan itu juga perlu menghormatinya dengan menggunakan bahasa Melayu.

Dia juga berpandangan wartawan mempunyai tanggungjawab untuk membantu ahli parlimen atau ahli politik untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dan akhirnya mengangkat kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan.

"Mungkin dia rasa saya buli dia. Nada saya memang macam itu...walau di Parlimen. Tapi saya rasa wartawan (lain) tahu itu memang karakter saya.

"Kalau mereka (wartawan) kenal saya lebih dekat, saya seorang yang humor," katanya lagi.

'Seni'

Awang turut mempertahankan Idris yang membalasa soalan Minderjeet dengan bertanya kepadanya sama ada dia boleh bertolak ansur jika suaminya seorang kaki judi.

"Jawab soalan dengan soalan itu seni. Bukan macam jawab soalan peperiksaan," katanya.

Ketika kejadian itu berlaku, Minderjeet menegaskan isu itu tiada kaitan dengan keluarganya tetapi Awang dalam wawancara tadi menegaskan ia memberi kesan negatif kepada keluarga dan masyarakat.

Awang juga mendakwa Minderjeet bertanya soalan "yang tidak patut" dengna meminta penjelasan Idris berhubung kenyataannya yang larangan judi akan diterima baik di Kedah, seperti yang ditunjukkan di Kelantan dan Terengganu.

"Kemudian wartawan ini bangkitkan 'how do you (Idris) know?' Itu bagi saya soalan yang tak patut sebab telah dibuktikan di Kelantan dan Terengganu, (larangan judi) diterima dengan baik oleh semua pihak," katanya lagi.

Dalam pada itu, Idris menolak gesaan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar agar dia meminta maaf secara terbuka kepada Minderjeet dan keluarganya.

"Terima kasih Batu Gajah...Walaupun ini perkara di luar konteks, pada saya tiada unsur bersifat provokasi,” katanya ketika sidang Parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, pegawai Idris, Khairul Nadzir Helmi Azhar mempertahankan tindakan Idris dan mendakwa Minderjeet cuba memburukkan PAS.

Susulan kejadian itu, kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dan Badan Wartawan Malaysia (IOJM) mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan hak Minderjeet untuk bertanya soalan berkenaan isu melibatkan kepentingan awam.