PRN MELAKA: 16 kompaun kepada parti politik langgar SOP
PRN MELAKA | Sebanyak 16 kompaun bernilai RM198,000 telah dikeluarkan kepada parti politik dan individu yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak 25 Okt hingga hari ini.
Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata daripada jumlah itu, 11 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (dua) manakala Pasukan Bersepadu (tiga).
Beliau berkata kompaun dikeluarkan antaranya kerana berkempen dari rumah ke rumah bertujuan mengedarkan risalah kempen secara bersemuka, berkempen di kedai makan secara berkumpulan dan membuat siaran media secara terbuka di lokasi melibatkan kehadiran ramai.
"Selain itu, kesalahan yang turut dikesan ialah mengadakan aktiviti parti di bilik mesyuarat yang kecil dan melanggar SOP yang ditetapkan iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu tempat mesyuarat serta membuat aktiviti melibatkan kehadiran penyokong yang ramai seperti tinjauan mesra.
"Secara keseluruhan, tahap kepatuhan parti politik yang bertanding pada PRN Melaka adalah 95 peratus dan pemantauan akan terus dipertingkatkan agar pematuhan SOP dipatuhi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Melaka hari ini.
Razali berkata dalam tempoh sama pihaknya telah membuat 130 laporan polis kerana parti politik melanggar SOP secara bukan kompaun dengan 41 kertas siasatan telah dibuka.
Beliau berkata selain itu, pihaknya telah meluluskan 62 permit untuk parti politik mengadakan ceramah menggunakan kenderaan bermula 8 Nov hingga hari ini dan kesemua permit berkenaan telah diluluskan.
Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya telah menjalankan beberapa latihan amali untuk mengelakkan pusat pengundian awal diganggu gugat atau berlaku perkara yang tidak diingini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai