Isu gangguan seksual, mesej 'spam' judi antara tumpuan parlimen
Isu gangguan seksual dan mesej ‘spam’ yang mempromosi perjudian dalam talian akan menjadi antara persoalan dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-12, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, pertanyaan itu diajukan Noorita Sual (PH-Tenom) pada sesi soal jawab yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan komitmen kerajaan dalam memperkenalkan Akta Gangguan Seksual serta garis masa akta itu akan dibentangkan.
Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai usaha drastik dilaksanakan kementerian bagi mengatasi isu mesej 'spam' yang mempromosikan perjudian secara dalam talian.
Mohd Nizar juga mempersoalkan sama ada wujud sebarang penglibatan pengendali syarikat telekomunikasi yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan bagi menjual data peribadi pengguna.
Menurut takwim Parlimen, Persidangan Dewan Rakyat dijangka diteruskan dengan sesi penggulungan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) oleh kementerian terlibat bermula hari ini hingga Khamis.
Sebelum ini, seramai 131 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 selama tujuh hari bermula 1 Nov lepas.
Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Dis ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai