Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kemelut nelayan Melaka - krisis terburuk bakal timbul

PRN MELAKA | Tanjung Kling ialah kawasan nelayan yang terletak di sepanjang pesisir pantai Melaka.

Sejak bermulanya kempen pilihan raya negeri (PRN), kain rentang dan bendera daripada tiga gabungan politik utama yang bersaing membentuk kerajaan negeri Melaka yang baru, dinaikkan di semua perkampungan.

Walau bagaimanapun, bagi penduduk nelayan tempatan di situ, mereka tidak ambil peduli. Baik BN, Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH), tidak ada yang menonjol di mata mereka.

Dalam lima tahun kebelakangan ini, ketiga-tiga gabungan itu pada satu tahap pernah menerajui kerajaan negeri Melaka.

Beberapa orang nelayan memberitahu Malaysiakini, selepas mengalami kejatuhan kerajaan negeri di bawah gabungan pemerintah berbeza, mereka pesimistik kehidupan mereka akan berubah menjadi lebih baik, tidak kiralah siapa pun yang akan menang.

Rungutan mereka terhadap beberapa projek penambakan laut beberapa tahun kebelakangan ini yang diteruskan meskipun siapa pun yang memerintah.

Projek-projek itu, kata mereka, telah memusnahkan ekosistem dan persekitaran, mengusir hidupan marin pantai dan menjejaskan kehidupan mereka.

Mohd Yazid Ayop, 45 (gambar, atas) mengeluh tentang tangkapan ikan yang semakin berkurangan setiap kali dia turun ke laut.

“Jika penambakan laut berterusan di kawasan ini, kami tak akan dapat menyara hidup bahkan sehingga kami mati … Kami cuma dapat tangkap sedikit sahaja ikan.

“Kadang-kala, kami terpaksa mengeluarkan RM50 duit petrol untuk bot, dapatlah kami keluar untuk lima hari (menangkap ikan), tetapi pendapatan yang kami raih tak lebih daripada RM50.

“Tak dapat ikan. Pembantu bot nak beli minuman untuk diri mereka pun tak dapat. Kasihan,” katanya.

Tanjung Kling terletak di kawasan Pantai Kundor. Amanah mempertaruhkan bekas pemimpin Umno Nor Azman Hassan sebagai calon PH.

Nor Azman dipecat daripada Umno setelah memainkan peranan menumbangkan kerajaan Umno-Bersatu pimpinan ketua menteri Sulaiman Md Ali.

Dia memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum (PRU) 2018 atas tiket BN dan untuk PRN kali ini akan berdepan calon PN Mohamad Ridzwan Mustafa dan calon BN Tuminah Kadi.

Hanya janji, tiada pampasan diberi

Salah satu rungutan penduduk nelayan adalah penyambungan jeti pelabuhan Tanjung Bruas yang telah terbina sejak 1980an.

Kata mereka, kerja-kerja pengorekan untuk penyambungan itu yang bermula tahun lalu telah mengganggu kegiatan perikanan.

Penduduk nelayan meminta kerajaan negeri berjanji untuk memberikan pampasan sepanjang tempoh gangguan itu, tetapi sehinggalah kerja selesai, tiada pampasan diberikan.

Pada Mac, Sulaiman (gambar, atas) mengarahkan pelabuhan itu membayar pampasan kepada 300 nelayan yang terkesan akibat kerja-kerja penyambungan jeti itu.

Tegas nelayan di situ, mereka tidak menerima sesen pun daripada wang yang dijanjikan.

Lebih mendukacitakan, mereka mendapat tahu bahawa terdapat satu lagi pemanjangan jeti pelabuhan. Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sedang disiapkan.

Berdasarkan surat kepada nelayan yang dilihat Malaysiakini, pemanjangan itu melibatkan penambakan laut seluas 48.5 hektar, atau setara dengan keluasan 389 kolam renang Olimpik.

Pemaju projek berkenaan ialah Kumpulan Melaka Berhad, anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Ketua Menteri Melaka Diperbadankan milik kerajaan negeri.

Satu lagi kawasan nelayan di selatan Tanjung Kling turut berkongsi kisah pergelutan serupa.

Nelayan dari Kampung Pinang, terletak di muara Sungai Lereh, berkata mereka terpaksa berdepan dengan projek perlombongan pasir di kawasan itu.

Mereka juga turut dijanjikan pampasan, tetapi sehingga kini mendakwa tidak menerimanya.

Daud Othman, nelayan berusia 38 tahun dari kampung itu berkata, mereka sangat bergantung pada hidupan marin pantai memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan atau peralatan untuk menjalankan kerja perikanan laut dalam.

Bagaimanapun, katanya bunyi bising dan bahan cemar daripada projek yang sedang berjalan itu telah mengusir hidupan marin dari pantai ke laut dalam.

Bahaya untuk ke laut dalam

“Jika kami mahu (menangkap ikan) lebih jauh ke laut, kami perlu tukar bot yang lebih besar. Kami tak boleh guna pukat, peralatan atau enjin yang sama yang kami gunakan untuk menangkap ikan di sekitar pantai.

“Ia lebih mahal. Contohnya, pukat untuk pinggir pantai hanya RM40, tetapi pukat untuk di menangkap ikan kawasan tengah berharga sekitar RM200.

“Dan ombak di tengah laut lebih kuat. Kami tak boleh guna bot kecil. Ia berbahaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tanpa kemampuan kewangan untuk menaik taraf dan tiada pula pampasan diberikan, nelayan tiada pilihan selain memancing nasib di pinggir pantai, meskipun dengan tangkapan yang kian menyusut.

Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa berdepan kesukaran lain - kapal-kapal perlombongan pasir yang merosakkan pukat mereka.

Ahmad Omar merupakan salah seorang nelayan yang berdepan masalah itu. Katanya, kapal melombong pasir melanggar pukatnya pada 2016 tetapi dia belum menerima sebarang pampasan sehingga kini.

Kumpulan nelayan Jaringan Nelayan Pantai Puteri berkata kerja-kerja penambakan laut timbul pada 2003 apabila Mohd Ali Rustam dari BN menjadi ketua menteri.

Ketuanya, Azmi Leman, 53 (gambar, atas) berkata keadaan semakin memburuk dalam lima tahun kebelakangan ini.

Kata nelayan generasi ketiga itu, garis pantai tempat mereka menangkap ikan semakin memendek dengan bilangan hidupan marin pula semakin merosot.

Dia merayu agar calon-calon yang bertanding dalam PRN Melaka untuk memandang masalah dihadapi mereka.

“Memang kami tahu, kawasan itu kawasan dia (kerajaan negeri), tetapi dari sudut mata pencarian nelayan, kawasan-kawasan itu yang ikan-ikan suka duduk, sebab ada sikit-sikit batu dan objek-objek di bawahnya.

“Kalau semua itu tercemar, dekat mana orang-orang nelayan hendak cari rezeki?

“Kami nelayan tidaklah tinggal tetap (dan menangkap ikan) di satu tempat sahaja, tetapi seluruh garis pantai Melaka sudah terkesan.

“Di kanan, ada jeti Petronas, di sebelah kiri, ada jeti Tanjung Bruas yang akan disambung, ke mana nak pergi, kami tersepit di tengah-tengah?” katanya sambil menuding jari ke kawasan laut.

Nelayan baik sangat, tak lawan eksploitasi

Azmi berkata, nelayan merupakan golongan yang paling teruk terjejas. Tidak semua daripada mereka dapat mencari nafkah di darat.

“Bagaimana mereka mahu menampung keluarga mereka," soalnya.

Azmi berkata siapa pun juga yang menang dalam PRN Melaka, harus melakukan libat urus dengan nelayan sebelum menjalankan projek yang menjejaskan mata pencarian kehidupan mereka.

“Kami tak mahu cakap saja. Dalam masa kita bercakap, projek sudah pun bermula, bahkan sudah nak siap pun,” katanya.

Dia menambah bahawa mereka yang menang juga harus melihat isu pampasan tertunggak yang belum dilunaskan kepada nelayan.

Sementara itu, Yazid berkata nelayan Melaka terlalu baik hati dan tidak melawan apabila dieksploitasi.

“Kami jarang-jarang protes kerana nelayan ini terlalu baik… Sebab tu mereka pijak kami,” katanya.

Sulaiman mempertahankan kerusi Lendu jauh di selatan Pantai Kundor. Lendu tidak mempunyai garis pantai.

Malaysiakini sudah menghubungi Sulaiman untuk mendapatkan maklum balasnya.

Sementara itu, ketika warga nelayan bergelut dengan projek penambakan laut di pesisir pantai berkenaan, masih ada lagi projek seumpamanya tidak lama lagi.

Berdasarkan dokumen Jabatan Alam Sekitar, salah satu projek yang melibatkan tambakan seluas 121 hektar di pesisir Kelebang, bersebelahan dengan tenggara Pantai Kundor.

Laporan EIA menyatakan bahawa projek itu bertindih dengan zon yang diwartakan sebagai warisan negara dan hanya 500m daripada Pulau Upeh, yang menjadi tapak persinggahan penyu.

Ibu segala penambakan

Tetapi, ibu segala penambakan di Melaka ada terkandung dalam dokumen manifesto BN untuk PRN.

Sulaiman mendedahkan manifesto BN pada Rabu (10 Nov), yang mana dia menguar-uarkan tentang Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) sebagai pemacu ekonomi utama negeri dan akan menjana sekitar 10,000 pekerjaan dalam masa lima tahun.

Malaysiakini meneliti perincian projek berkenaan dan mendapati ia akan melibatkan kerja-kerja penambakan yang luas, meliputi sekitar separuh daripada garis pantai keseluruhan Melaka, memberi kesan kepada bukan hanya Pantai Kundor, tetapi juga tujuh lagi kawasan pesisir pantai yang lain.

Menurut laman web M-WEZ, projek mega itu melibatkan 10,000 hektar, iaitu dua kali ganda saiz Putrajaya di sepanjang garis pantai sejauh 33km dan akan dibahagikan kepada lime seksyen.

Bermula dari pantai Sungai Udang, M-WEZ akan menjangkau sepanjang Pantai Kundor hingga Kelebang, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hidir, Telok Mas, sehinggalah ke bahagian utara Serkam.

Ia akan melibatkan peluasan kawasan pantai Melaka lebih jauh ke laut, mewujudkan kawasan tanah baru yang luas.

Kawasan-kawan itu akan dibangunkan menjadi harbourfront, taman perniagaan, kawasan perbandaran, pusat logistik - menjadikan perkampungan nelayan yang wujud sekian lama semakin terperosok ke dalam dan semakin jauh dari laut.

Zon ekonomi baru itu diluluskan oleh DUN Melaka pada 22 Sep, yang disifatkan Sulaiman ketika itu sebagai game-changer (pengubah keadaan) untuk ekonomi Melaka.

Semua 11 Adun pembangkang daripada PKR, Amanah, dan DAP membantah projek berkenaan.

Bagaimanapun, mereka ditewaskan 16 Adun kerajaan yang mengundi menyokong. Seorang Adun kerajaan tidak hadir.

Projek itu tidak begitu disedari oleh khalayak umum, tetapi penyokong pemuliharaan alam sekitar menyifatkannya sebagai satu malapetaka dan melancarkan petisyen untuk menyelamatkan pantai Melaka.

[Baca laporan asal]