Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan perubatan gesa reformasi pendekatan pemulihan dadah

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa reformasi pendekatan kerajaan terhadap pemulihan dadah, bermula dengan memperakui masalah ketagihan dadah merupakan sejenis gangguan mental atau keadaan perubatan yang memerlukan campur tangan profesional.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata penagih dadah perlu dilayan sebagai pesakit yang perlu mendapat rawatan dan bukannya penjenayah untuk dihukum.

“Pusat pemulihan dadah sepatutnya menjadi tempat orang yang bergelut dengan penagihan dadah pergi untuk menerima bantuan profesional bagi mengatasi tabiat mereka.

“Penagih dadah harus dilayan sebagai pesakit, bukan penjenayah,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Untuk rekod, Klasifikasi Penyakit Antarabangsa WHO pada 1994 menyatakan masalah ketagihan pada sesuatu bahan merupakan sejenis gangguan mental dan penyakit kronik mudah berulang.

Ini termasuklah kebergantungan terhadap alkohol dan dadah (sama ada yang haram atau dengan preskripsi doktor).

"Gangguan penggunaan bahan merupakan penyakit mental yang perlu dirawat oleh profesional terlatih dengan program pemulihan berasaskan bukti, kaunseling dan dalam beberapa kes, penggunaan ubat-ubatan tertentu yang ditetapkan.

“Terdapat juga kebimbangan kaedah lama ‘cold turkey’ mengurung penagih untuk satu tempoh masa dengan harapan mereka akan dipulihkan masih lagi digunakan,” jelas Dr Koh.

Menurutnya, kajian menunjukkan kaedah lapuk sebegitu tidak membuahkan hasil yang berjaya dan menyebabkan ramai penagih kembali kepada tabiat lama mereka selepas dibebaskan.

Kenyataan MMA ini sebagai maklum balas terhadap laporan kematian seorang pelatih berusia 31 tahun di pusat pemulihan dadah di Kubang Pasu, Kedah, awal bulan ini akibat kecederaan yang didakwa dilakukan seorang warden.

Warden berusia 46 tahun itu yang telah ditahan, didakwa telah memijak leher mangsa dan menendang dadanya, selepas memasukkannya ke dalam sel pengasingan berikutan cubaan mangsa melarikan diri dari kemudahan itu kira-kira jam 3 pagi pada 4 Nov.

Koh berkata selain siasatan penuh terhadap kejadian yang dilaporkan, kerajaan mesti melihat pembaharuan yang diperlukan dalam menguruskan isu penagihan dadah di negara ini.

"Kami bimbang walaupun pusat pemulihan mungkin diawasi atau diuruskan oleh profesional yang berkelayakan, warden yang menjalankan program pemulihan ini mungkin kekurangan latihan profesional, kelayakan dan kualiti yang diperlukan," kata Koh.

Memetik laporan media, Koh berkata kejadian di Kedah yang menyaksikan penahanan seorang warden itu tidak sepatutnya berlaku di pusat pemulihan dadah.

Mangsa, yang dimasukkan ke pusat pemulihan itu pada April lalu kerana didakwa ketagihan ganja, hanya berjaya lari kira-kira 1km dari kemudahan itu sebelum ditemui warden, menurut Ketua Polis Kedah Kamarul Zaman Mamat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada jawapan bertulis parlimen 9 Nov lalu berkata produk yang mengandungi kanabis yang digunakan untuk tujuan perubatan boleh diimport dan digunakan di Malaysia jika produk itu mematuhi keperluan undang-undang.