Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda Umno Kelantan nasihat Muhyiddin 'duduk diam-diam'

Muhyiddin Yassin sekali lagi dicabar oleh Umno agar menarik balik sokongan yang diberikan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kepada BN.

Kali ini cabaran berkenaan dibuat Pemuda Umno Kelantan.

Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor berkata presiden Bersatu itu tidak patut berperangai seperti kanak-kanak dengan membuat ugutan tersebut.

"Kalau nak tarik, silalah tarik. Pendayung ada di tangan. Kayuhlah ke mana arah yang nak dibawa Bersatu itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hariri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Muhyiddin mengenai sikap yang diambilnya bagi menguruskan kemelut hubungan Bersatu dengan Umno, khususnya selepas timbalan presiden parti itu, Ahmad Faizal Azumu, dijatuhkan di Perak.

Muhyiddin sendiri menjadi 'korban' kepada gerakan Umno apabila dia terpaksa meletak jawatan perdana menteri apabila kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat pada 16 Ogos lalu hanya selepas 17 bulan berada di posisi tersebut.

Semalam Muhyiddin berkata jika mahu dia boleh saja 'menekan punat' bagi menarik balik sokongan Bersatu kepada kerajaan Johor sekali gus menjatuhkan Adun Umno yang menjadi menteri besar di situ Hasni Mohammad.

Hariri berkata Muhyiddin perlu ingat bahawa PN sendiri banyak bergantung kepada kerjasama dengan Umno malah parti itulah yang memberikan sokongan untuk dia menjadi perdana menteri.

Pelantikan tersebut kata Hariri dibuat walaupun jumlah kerusi Bersatu lebih kecil berbanding Umno.

"Pesanan saya kepada beliau, tepuk dada tanya selera. Anda telah merosakkan peluang selama 17 bulan memerintah negara. Ternyata anda gagal.

"Jadi duduk diam-diam, ikut sahaja arus di bawah pentadbiran perdana menteri baru ini," katanya.