Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Apakah Muhyiddin akan terus sokong PM jika Bersatu tewas di Melaka?'

Veteran DAP Lim Kit Siang meminta Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian sama ada akan terus menyokong Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob jika Perikatan Nasional (PN) tewas kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Lim berkata pendirian itu penting kerana bekas perdana menteri itu berkata yang dia tidak berdendam dan membenarkan pemimpin itu menggantikannya sebagai perdana menteri.

"Muhyiddin mengatakan, walaupun berhadapan dengan pilihan di antara membubarkan Parlimen dan membuka jalan untuk pilihan raya baru selepas kehilangan majoriti di parlimen, beliau menolak jalan pembubaran, sebaliknya mencadangkan nama Ismail Sabri dari Umno untuk memimpin sebagai perdana menteri baru.

"Beliau mengatakan salah satu sebabnya adalah beliau tidak mahu pembangkang, yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa.

"Mungkin Muhyiddin patut menyatakan sama ada beliau akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri sekiranya Bersatu dikalahkan sepenuhnya oleh Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini?," soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin semasa berucap di majlis ceramah dalam talian di Shah Alam, Muhyiddin berkata perlunya landskap politik berubah selepas sekian lama BN mentadbir negara.

"Bahawa sejarah BN sudah berakhir. Sudah lama mereka melalui proses, sudah lebih enam dekad lamanya.

"Sekarang rakyat sudah berubah, pendirian mereka juga banyak terbuka disebabkan ilmu dan kemahiran, penguasaan teknologi maklumat memberikan banyak pengetahuan baru," katanya.

Untuk rekod Muhyiddin merupakan ahli politik yang lama dalam Umno dan pernah menjadi timbalan presiden parti itu serta berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri sebelum dipecat semasa isu 1MDB memuncak.

Tempatnya dalam Umno kemudian digantikan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu menjadi naib presiden.

Dalam pada itu Lim berkata, dia tertarik dengan pengakuan Muhyiddin kerana ia merupakan satu pengakuan "pengkhianatan" terhadap manifesto PH.

"Muhyiddin tidak pernah percaya kepada manifesto pilihan raya PH ini, manifesto ini hanyalah satu muslihat bagi beliau untuk menipu pengundi," sindirnya.