Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

K'jaan umum ahli jawatankuasa khas siasat kematian Adib

Kerajaan hari ini mengumumkan senarai ahli jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan media hari.

Selain Wan Junaidi, jawatankuasa berkenaan dianggotai Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican; Peguam Negara, Idrus Harun dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Kamardin Hashim.

Ia turut dianggotai Perunding Kanan Pakar Patologi Forensik RCSI & UCD (Kampus Pulau Pinang); Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, Profesor ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Looi Lai Meng, bekas Profesor Madya Universiti Sains Malaysia yang juga pengamal undang-undang, Dr MP Sundramoorthy; Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik PDRM, Azari Abd Rahman dan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan PDRM, SAC Mohammad Abd Hamid.

Menurut Wan Junaidi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urus setia bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi jawatankuasa khas ini.

Katanya lagi, memorandum jemaah menteri berhubung penubuhan jawatankuasa khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan jemaah menteri dalam masa terdekat.

"Jawatankuasa ini akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada mesyuarat jemaah menteri dalam tempoh 6 bulan sebagaimana keputusan jemaah menteri pada 29 Oktober 2021," katanya.

Pada 9 Okt lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018.

Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.

Inkues ditubuhkan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya, sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib disebabkan oleh perlakuan jenayah oleh lebih daripada dua atau tiga orang yang tidak dikenali.