Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Enggan berdebat tanda negara amat perlukan pemimpin berani'

PRN MELAKA | Negara ini ketandusan pemimpin yang berani dan mempunyai idea untuk berhadapan dengan rakyat, kata penganalisis politik, Mohammad Agus Yusoff, selepas ada parti yang menolak untuk saranan berdebat.

Pada masa sama, katanya, rakyat memang amat memerlukan ahli politik yang berwawasan serta bertaraf dunia.

Ketika kempen PRN Melaka begitu terbatas oleh prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya, tambah Mohammad Agus, debat perlu diadakan kerana boleh menjadi jalan mengatasi kekangan tersebut.

"Setelah ada pemimpin yang menolak debat ini, saya berfikir betapa kita kehausan pemimpin yang berani dan mempunyai idea untuk berhadapan dengan rakyat secara langsung.

"Dalam keterbatasan kempen PRN yang dibenarkan, debat calon KM ini perlu diadakan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mencadangkan agar debat dijalankan dengan mempertemukan ketiga-tiga calon ketua menteri dari tiga gabungan yang menyertai PRN ini.

PH sudah menetapkan Adly Zahari sebagai ketua menteri jika mereka memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan. BN pula menamakan Adun Lendu Sulaiman Md Ali sebagai pertaruhan mereka.

Tumpu kerja yang ada

Adly dan Sulaiman pernah menjadi ketua menteri selepas 2018.

Perikatan Nasional (PN) pula masih belum mengumumkan siapakan calon ketua menteri mereka.

Di sebalik saranan Anwar, semalam Sulaiman menolak cadangan tersebut dan memberitahu Malaysiakini dia lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen yang kini hanya berbaki tujuh hari.

"Tak payahlah. Kita habiskan pilihan raya ni dululah. Kita tumpukan dulu kerja yang ada ni," katanya.

Cadangan Anwar itu dibuat sebagai menyambut keterbukaan ditunjukkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa yang sedia mempertimbangkan kemungkinan memberi ruang kepada semua parti yang bertanding untuk muncul dalam stesen televisyen dan radio kerajaan.

Adly merupakan ketua menteri Melaka dari tahun 2018 hingga 2020 sebelum jawatan itu diisi Sulaiman sehinggalah kerajaan BN-PN dijatuhkan dan DUN Melaka dibubarkan.

Mohammad Agus berkata di negara yang mengamalkan demokrasi matang, debat calon presiden atau perdana menteri adalah perkara biasa.

Katanya ia dijalankan bagi membolehkan calon menunjukkan pengetahuan dan keupayaan inteleknya bagi memimpin negara dan dapat diadili orang ramai.

"Tetapi di Malaysia, setiap kali debat dicadangkan, akan ada sahaja calonnya yang menolak. Akan ada sahaja yang mengatakan debat bukan budaya politik kita.

"Hari ini calon ketua menteri dari BN menolak cadangan pengerusi PH agar debat dadakan. Alasannya kerana mahu tumpukan masa pada kempen pilihan raya.

"Kenapa tolak bila diajak berdebat sedangkan debat ini juga adalah untuk berkempen? Apakah takut atau tidak mampu?

"Sepatutnya, jika ada wawasan, idea, prinsip, fakta, kebijaksanaan, falsafah dan nilai perjuangan yang baik, terima sahaja pelawaan debat ini," katanya.