Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

28 calon PN tandatangan aku janji elak terlibat rasuah

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin malam ini menyaksikan kesemua 28 calon gabungan pilihan raya negeri Melaka menandatangani borang 'aku janji calon pilihan raya negeri.'

Borang tersebut bertujuan bagi mencegah calon-calon daripada terlibat dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa apabila mereka menang dalam pilihan raya negeri itu.

Antara lain, borang tersebut menyatakan: "Saya akan menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Saya tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk kenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada langsung atau tidak langsung.

"Saya akan melaporkan kepada SPR. dengan segera sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan saya atau kakitangan di bawah seliaan saya."

Ia juga menyatakan supaya calon mematuhi sepenuhnya undang-undang yang diperuntukkan dalam Akta SPRM 2009 dan undang-undang yang berkaitan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli dewan undangan negeri.

Program menandatangani aku janji itu berlangsung di bilik gerakan utama Perikatan Nasional di Tanjung Minyak, Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November selepas pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas.